Cari @ Amanz

 Peranti dengan sistem dwi-kamera selama ini ditemui pada peranti utama dan pertengahan. Hanya sejak awal tahun ini kita mula melihat peranti kelas permulaan turut dilengkapi sistem kamera yang sama. Hari ini ZTE Blade V8 akhirnya dilancarkan secara rasmi dan seperti Oukitel U20 Plus, ia sebuah peranti kelas permulaan dengan sistem dwi-kamera. Ini ialah pandang pertama kami mengenai peranti ini.

Spesifikasi

ZTE Blade V8
Skrin 5.2″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses Qualcomm Snapdragon 435
Cip Grafik Adreno 505
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 + 2 Megapixel f/2.2
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0
Kalis Air Tidak
Bateri 2730 mAh
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / HIbrid
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Tiada
Bicu Audio Ya
Harga RM 999

Skrin 5.2″ IPS LCD digunakan dengan resolusi HD Penuh. Ini adalah amat penting bagi memastikan ia sesuai digunakan dengan peranti realiti maya yang disertakan. Ya, ini keunikan ZTE Blade V8 iatak kotak peranti ini adalah sebuah peranti realiti maya seperti Google Cardboard.

Paparan ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 435 lapan teras. Ini bukanlah sebuah pemproses yang berkuasa dan hanya dilengkapi cip grafik Adreno 505. RAM yang disertakan adalah agak besar bagi peranti permulaan iaitu 3 Gigabyte dengan storan 32 Gigabyte. Kad MikroSD disokong sehingga 128 Gigabyte.

Kamera utama ialah gabungan 13 + 2 Megapixel f/2,2 manakala kamera hadapan pula sebesar 13-Megapixel. Kedua-dua sensor 13-Megapixel menggunakan sensor Sony IMX258 yang sebelum ditemui pada Sony Xperia XA dan Xiaomi Redmi Pro.

Sistem dwi-kamera yang digunakan mampu mengambil gambar bokeh dan 3D. Apabila gambar 3D diambil, ia perlu ditonton menggunakan sebuah peranti realiti maya. Secara teorinya gambar 3D ini boleh dikongsikan kepada teman-teman anda yang mempunyai peranti realiti maya. Kesan 3D yang dihasilkan adalah sekadar biasa sahaja dan mengingatkan kami kepada kesan khas yang pernah ditemui pada HTC Evo 3D.

Sebauah bateri sebesar 2730 mAh disertakan tetapi tidak boleh ditanggalkan. Ini ialah kapasiti bateri yang agak kecil. Sedikit mengecewakan ialah tiada sokongan pengecasan pantas disokong. Pengecas yang diberikan hanya mengecas pada kadar 5V/1.5 A dan ini lebih perlahan dari format pengecasan QuickCharge 1.0 (5v/2A). Mengapa ia tidak menyokong format pengecasan lebih pantas sedangkan Snapdragon 435 menyokong format pengecasan QuickCharge 3.0.

Tiada sokongan NFC, pemancar infra merah ataupun pengimbas cap jari pada peranti ini. Yang disertakan ialah sokongan dwi-SIM bersaiz nano. Talam hibrid digunakan dan ini bermakna hanya satu SIM boleh digunakan sekiranya anda mahu menggunakan kad MikroSD.

Rekabentuk

Tiada yang istimema mengenai rekaan ZTE Blade V8. Ia sebuah peranti dengan kerangka logam dengan kaca hadapan 2.5D. Ini ialah rekaan standard kebanyakan peranti sejak dua tahun kebelakangan ini.

Panel belakang terdiri daripada tiga panel keping logam berbeza. Dwi-kamera terletak di tengah-tengah dengan sebuah flash terhimpit diantara dua lensa kamera. Kemasan belakang adalah matte dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah.

Bergerak ke bahagian hadapan terdapat sebuah butang home fizikal pada bahagian dagu dengan dua butang kapasitif yang berlampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam. Dua butang back dan multi-tasking ini boleh diprogramkan semula mengikut keperluan pengguna. Terima kasih kepada ZTE kerana membawakan fungsi ini dan lampu. Kami menemui banyak peranti kelas pertengahan lain yang tidak menyokong kedua-dua fungsi ini.

Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa. Butang suara terdiri daripada dua butang dan bukannya rocker. Di bawahnya terletak butang kuasa yang mempunyai tekstur kasar bagi membezakannya dari butang suara.

Bergerak ke sisi kiri terdapat talam dwi-SIM dan kad MikroSD. Talam SIM  hibrid ini perlu dicucuk dengan pin sebelum boleh dibuka. Seperti kami katakan sebelum ini, dwi-SIM bersazi nano boleh digunakan.

Sebuah pembesar suara mono dan port pengecasan MikroUSB terletak pada bahagian bawah. Jika dilihat terdapat dua kekisi audio namun hanya kekisi kanan dilengkapi pembesar suara. Akhir sekali sebuah bicu audio 3.5mm diletakkan pada bahagian atas peranti.

Peranti ini mungkin mempunyai rekaan yang biasa sahaja tetapi ia selesa dipegang. Kemasan matte yang digunakan pada keseluruhan bahagian logam membuatkannya tidak licin untuk dipegang. Ini memudahkan operasi sebelah tangan. Pada waktu yang sama masalah memerangkap cap jari tidak berlaku.

Antaramuka

Android 7.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar Mifavor 4.2. Banyak perubahan dilakukan pada pelancar ini berbanding Android Stock. Antaranya ialah tiada talam aplikasi dan kustomasi untuk menggunakan kesan khas animasi transisi apabila menatal skrin. Keseluruhan pek ikon juga diubah. Lima pek ikon disertakan untuk pilihan pengguna.

Selepas menggunakan peranti ini selama beberapa jam kami mendapati ia berfungsi dengan lancar. Tiada masalah sela masa disedari buat masa ini. Aplikasi yang biasa kami gunakan juga tiada masalah untuk digunakan.

Theme – Mengubah tema peranti tetapi hanya lima tema diberikan tanpa sebarang fungsi muat turun.

Screenshot Memanjang – Merakam gambar skrin secara memanjang.

Gesture & Motion – Dwi tap untuk menghidupkan skrin yang tidak aktif dan menghidupkan lampu suluh dengan menggoncang peranti.

Flip to Mute – Menghentikan deringan telefon dengan menterbalikkan peranti.

Mi-POP – Butang atas skrin tambahan yang boleh diprogramkan untuk melakukan pelbagai ketara.

Menyusun Semula Butang Navigasi – Posisi butang back dan multi-tasking boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Eye-Care – Penapis sinar biru mengurangkan silau pada waktu malam.

 

Kesimpulan

ZTE Blade V8 ialah sebuah peranti yang mempunyai rekaan yang kemas sungguhpun jatuh ke dalam kategori peranti kelas permulaan. Pemproses Snapdragon 435 yang digunakan dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan ia memberikan kemampuan yang agak baik. Selepas menggunakan peranti selama beberapa jam kami belum lagi menemui sebarang masalah sela masa dan kegagalan aplikasi. Pemproses kelas permulaan apabila digabungkan dengan sistem operasi yang dioptimasikan tidak lagi menimbulkan kejengkelan seperti dahulu.

Tubuh logam dengan kemasan matte memastikan peranti tidak licin apabila dipegang. Ia juga tidak memerangkap cap jari dengan mudah seperti kebanyakan peranti di pasaran sekarang.

Sistem dwi-kamera memberikan mod bokeh dan menangkap gambar tiga dimensi. Gambar 3D ini boleh ditonton menggunakan kotak merangkap peranti realiti maya yang disertakan sekali. Skrin 5.2″ HD penuh yang digunakan dapat memberikan pengalaman 3D yang baik.

Kekurangan paling ketara ialah tiada pengimbas cap jari dan kapasiti bateri yang kecil. Tambah sadis tiada pengecasan pantas disokong sungguhpun Snapdragon 435 menyokong QuickCharge 3.0. ZTE Blade V8 dijual pada harga RM 999 bermula hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd