Cari @ Amanz

Apple sebelum ini telah beberapa kali diperkatakan ingin hadir dengan perkhidmatan pemindahan wang antara pengguna, tetapi sehingga kini tiada sebarang pengumuman mengenainya. Kini, laporan baru hadir, mengatakan Apple kini sekali lagi dalam perbincangan bersama rakan kerjasama untuk memperkenalkan perkhidmatan pemindahan wang mereka tersendiri.

Ciri ini dijangka akan diintegrasikan pada Apple Pay, dan secara tidak langsung bukan sahaja bersaing dengan bank, tetapi dengan perkhidmatan seperti PayPal dan sebagainya.

Apple Pay buat masa ini lebih memfokuskan penggunaan untuk membeli barangan di kedai atau secara atas-talian. Pengenalan ciri ini sekaligus akan membolehkan pengguna menggunakan satu aplikasi untuk pelbagai tujuan.

Menurut laporan daripada Recode, Apple mungkin memperkenalkan fungsi pemindahan wang antara pengguna ini seawal tahun ini.

Pada masa yang sama, ia dikatakan syarikat teknologi terkemuka ini turut dalam perbincangan bersama Visa untuk menawarkan kad prabayar mereka tersendiri, yang mana boleh dipautkan ke akaun Apple Pay, serta menggunakan ia pada pelbagai kedai dan di laman web.

Apa pun, seperti biasa, ia mungkin akan terhad kepada negara-negara yang telah disokong oleh Apple Pay sahaja buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd