Cari @ Amanz

Jika anda seorang gamer yang selalu mengikuti perkembangan teknologi permainan komputer anda pastinya tahu mengenai jenama Acer Predator. Ia terdiri daripada siri gaming laptop dan gaming desktop. Rekabentuk jenama Predator ini selalunya sangat agresif dan mudah dikenali walaupun sekiranya dilihat dari jauh.

Di acara Acer GPC di New York, syarikat pembuat komputer tersebut telah mengumumkan gaming laptop Acer Predator terbaru mereka yang diberi nama Acer Predator Triton 700. Laptop ini dicipta untuk memberikan persaingan yang hebat di arena gaming laptop yang nipis, tetapi hadir dengan spesifikasi yang berkuasa.

Spesifikasi

Acer Predator Triton 700
Skrin 15.6″ IPS LCD 1920×1080 pixel
Pemproses Intel Core i7-7700HQ
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 10-series
RAM 16/32 GB DDR4
Muatan Dalaman 512 GB SSD PCIe
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
USB USB 3.1 Type-A x3, Type-C x1
Video HDMI, DisplayPort
WiFi Killer LAN 802.11ac

Acer Predator Triton 700 hadir dengan paparan skrin 15.6 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang menggunakan teknologi paparan IPS (In-Plane Switching) yang menjanjikan skrin yang terang-benderang dengan sudut penglihatan yang agak lebar. Ia juga mempunyai kadar segar-semula 60FPS, yang pada pendapat kami, agak rendah jika spesifikasi komponen lain laptop ini dipertimbangkan.

Dikuasakan oleh CPU generasi ketujuh Intel Core i7-7700HQ, laptop Acer Predator Triton 700 ini juga hadir dengan spesifikasi komponen lain yang sangat berkuasa, termasuklah memori DDR4 yang boleh ditambah sehingga 32GB dan juga sebuah SSD PCIe bersaiz 512GB. Jika anda tertanya-tanya tentang butiran kad grafik, jurucakap Acer berkata bahawa mereka masih belum memuktamadkan spesifikasi kad tersebut, tetapi berdasarkan skor penanda-aras 3DMark yang ditunjukkan di atas pentas sewaktu pengumumannya, kami mengesyaki ia hadir dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 ataupun GTX 1080.

Dari segi pilihan I/O pula, Predator Triton 700 ini hadir dengan tiga port USB 3.1 Type-A, satu port USB 3.1 Type-C di sisi kiri dan kanan laptop Triton 700 ini. Selain dari itu, satu port HDMI, satu port DisplayPort bersaiz penuh duduk di sebelah penyambung kuasa AC di belakangnya.

Rekabentuk

Salah satu ciri yang paling menarik tentang laptop Predator Triton 700 ini ialah rekabentuknya yang lain daripada peranti-peranti model Predator sebelum ini. Jika laptop Predator 21X, Predator 15, 17 dan sebagainya mempunyai skema rekaan yang amat agresif, Predator Triton 700 pula boleh dikatakan agak minimalis walaupun ianya mengambil beberapa inspiarasi daripada Predator 21X.

Pada pandangan pertama, anda pasti sedar bahawa laptop Predator Triton 700 ini tidak mempunyai bucu-bucu dengan rekaan yang aneh. Sebaliknya, laptop ini mempunyai rekabentuk luaran yang kemas, dan ini selari dengan matlamat terbaru Acer yang mahukan sebuah komputer riba yang berkuasa, tetapi nipis dengan rekaan yang tidak terlalu menonjol.

Bercakap tentang rekaan nipis, laptop Acer Predator Triton 700 ini mempunyai ketebalan 18.9mm sahaja apabila paparan skrinnya ditutup. Ini sangat berbeza dengan laptop Acer Predator yang lain yang lebih tebal walaupun paparan skrin masih lagi terbuka, terutamanya Predator 21X.

Walaupun begitu, laptop Predator Triton 700 ini mengambil beberapa contoh daripada Predator 21X, termasuklah penggunaan papan kekunci mekanikal, yang pada hemat kami tidak menggunakan switch Cherry MX, tetapi masih lagi mempunyai rasa tactile yang ramai pengguna akan kaitkan kepada papan kekunci mekanikal.

Laptop ini juga menggunakan trackpad Gorilla Glass sama yang digunakan oleh Acer Predator 21X, dan sama seperti laptop tersebut, ianya diletak di bahagian atas papan kekunci, dan bagi kami lokasi ini agak kekok jika anda mahu menggunakannya sebagai cara utama untuk menggerakkan ikon tetikus di atas skrin.

Sewaktu kami mengujinya, kami juga perasan bahawa beberapa ciri seperti menggunakan dua jari untuk membuka menu konteks hanya boleh dilakukan di beberapa kawasan tertentu di trackpad tersebut. Mungkin ini hanya kerana unit-unit yang ditunjuk di kawasan demo adalah model prototaip, dan ia akan diperbaiki di masa hadapan.

Ciri-Ciri

Laptop Acer Predator Triton 700 hadir dengan dua ciri-ciri menarik yang dapat kami kenal pasti daripada pengumuman hari ini. Pertama merupakan penggunaan dua kipas penyejuk AeroBlade 3D Fan generasi kedua, di mana Acer memperbaiki lagi kipas AeroBlade 3D yang digunakan oleh Acer Predator 21X, yang membenarkan udara mengalir 10 peratus lebih efisien berbanding model sebelumnya.

Sewaktu kami bermain permainan video menggunakan laptop ini, satu benda yang kami perasan ialah kawasan papan kekunci dan trackpad tidak panas sama sekali. Ini adalah suatu petanda yang sangat bagus, tetapi oleh kerana kawasan demo terletak di luar, kami tidak dapat mengenalpasti samaada  kipas AeroBlade baru ini betul-betul senyap ataupun tidak.

Ciri kedua yang dapat kami lihat pada laptop Predator Triton 700 ini ialah penggunaan perisian Predator Sense yang memperlihatkan suhu CPU dan kad grafik anda. Perisian ini juga membolehkan anda mengubahsuai beberapa tetapan, termasuklah lampu papan kekunci, pintasan papan kekunci, sistem overclocking dan juga kelajuan kipas penyejuk. Menurut jurucakap Acer, ada beberapa kemaskini baru yang akan hadir untuk perisian tersebut juga, tetapi beliau tidak memberikan sebarang butiran tentang kemaskini tersebut.

Konsep overclocking untuk meningkatkan prestasi gaming dan sebagainya kini sudah tiba di arena gaming laptop, dan Acer Predator Triton 700 salah sebuah peranti di mana ia boleh dilakukan melalui perisian Predator Sense yang disebutkan tadi. Oleh kerana laptop ini menggunakan CPU Intel Core i7-7700HQ dan siri kad grafik NVIDIA Pascal, kami pasti sesiapa yang mampu memiliki laptop ini akan cuba menolak prestasinya ke tahap maksima.

Kesimpulan

Laptop Acer Predator Triton 700 ini bagaikan nafas baru bagi siri Acer Predator. Rekabentuknya yang ringkas dan nipis bagai menyembunyikan kemampuan sebenar laptop ini. Spesifikasinya boleh membuatkan mereka yang menggunakan komputer desktop berasa cemburu, dan mereka yang menggunakan laptop yang berkuasa tetapi jauh lebih tebal rasa menyesal mereka tidak membeli laptop ini.

Pada masa ini, masih tiada lagi kata putus untuk bila laptop ini akan hadir di pasaran Malaysia, akan tetapi pihak Acer telah menyatakan bahawa ia akan hadir untuk pasaran dunia sekitar musim panas nanti, bersama peranti-peranti lain yang ia akan lancarkan untuk “musim kembali ke sekolah” pada pertengahan tahun nanti.

Acer juga telah mengumumkan harga peranti ini, dan ianya akan dijual untuk harga $3000 (RM13055). Harga yang diumumkan ini bukanlah sekadar untuk spesifikasi dalamannya, tetapi juga waktu dan tenaga yang dimasukkan untuk mereka cangkerang laptop yang cukup nipis yang membolehkannya dibawa kemana-mana sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd