Cari @ Amanz

Amazon mempunyai sebuah peranti khusus untuk ruang tamu yang memberikan jawapan dan info berasaskan kepada input suara, dinamakan sebagai Amazon Echo. Selain gergasi edagang berkenaan, pihak Google juga mempunyai penawaran lebih kurang sama melalui apa yang dipanggil Google Home.

Selain kedua-duanya, Apple turut telah diperkatakan dalam proses membangunkan peranti mereka tersendiri. Kini, info lanjut hadir mengatakan Apple dalam fasa akhir untuk menyiapkan rekaannya, dan mungkin kita akan melihat ia diperkenalkan sekitar setahun dua lagi.

Sekiranya Apple memilih untuk memasarkannya, mereka mungkin mengintegrasikan Siri padanya – sekaligus memenangi Alexa dan Google Assistant yang masih terhad dengan sokongan bahasa Inggeris sahaja buat masa ini. Malah, memandangkan Apple sedia menawarkan Siri dalam bahasa Malaysia – kebarangkalian ia dipasarkan secara meluas seluruh dunia adalah tinggi.

Disamping itu, Apple juga mungkin boleh mengintegrasikan kepakaran audio daripada Beats ke dalamnya, dan menjadikan ia salah satu speaker terbaik untuk kegunaan di ruang tamu di rumah.

Apa pun, seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut untuknya. Desas-desus turut mengatakan Microsoft juga mungkin akan hadir dengan peranti tersendiri yang menggunakan Cortana.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd