Cari @ Amanz

Elon Musk merupakan seorang yang tidak asing lagi dengan idea-idea berbentuk futuristik. Syarikat milik beliau sedia membangunkan roket yang boleh digunakan semula, kenderaan elektrik, menghantar manusia ke Marikh, selain hadir dengan idea seperti mengimplan cip pada otak, serta terkini, sebuah terowong futuristik.

Idea baru ini hadir melalui syarikat baru yang dinamakan sebagai The Boring Company. Melaluinya, sebuah terowong dibangunkan dibawah tanah dengan tujuan untuk mengatasi masalah trafik di jalan raya, selain ke sesuatu lokasi yang jauh dengan lebih pantas lagi.

Daripada video konsep yang dipertontonkan, ia memperlihatkan pengguna boleh memandu kenderaan seperti biasa dalam bandar, dan sekiranya ingin ke sesuatu lokasi yang jauh, boleh memasuki lebuhraya melalui sebuah ruangan khusus. Ia berbentuk seperti lif, dan membawa kenderaan berkenaan turun dalam sebuah tapak khusus – dan seterusnya membawa kenderaan berkenaan ke destinasi pada kelajuan mencapai 200km/j.

Membina terowong bawah tanah semestinya sebuah cabaran yang besar, apatah lagi dalam konsep yang diperlihatkan, ia memerlukan galian dilakukan dengan sangat dalam sebelum dapat menjayakannya. Selain mengatasi masalah trafik, dengan had laju berkenaan, ia membolehkan kawasan luar bandar dan bandar dihubungkan dengan mudah dan pantas.

Seperti biasa, ia sekadar konsep buat masa ini, dan semestinya mengambil masa bertahun-tahun sebelum direalisasikan. Buat masa ini, pasukan dibawah syarikat baru ini sedang membangunkan sebuah trek ujian di SpaceX untuk melihat hasil awalnya terlebih dahulu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd