Cari @ Amanz

Pada tahun lalu salah satu startup tempatan yang menfokuskan terhadap industri pengurusan acara iaitu vmo telahpun memulakan operasi mereka. Startup ini memudahkan pengguna mendapatkan sebutharga dan juga mengetahui mengenai lokasi acara yang ingin dijalankan, dari segi makanan, ruang kawasan, dan pelbagai lagi.

Selang setahun kemudian, mereka kini mengumumkan yang mereka telah berjaya memperoleh dana pelaburan menerusi Crowdfunding menggunakan platform CrowdPlus. Dalam tempoh 4 hari sahaja dalam bulan Mac 2017, mereka berjaya menerima pelaburan secara ‘Equity Crowdfunding’ dimana meskipun pelaburan tersebut adalah secara terbuka, mereka yang melabur menerusi platform CrowdPlus akan menerima ekuiti, dan berbeza dari crowdfunding popular seperti KickStarter dan Indiegogo.

Menggunakan platform tersebut, vmo menyasarkan RM 250,000 dan memperolehnya dari 13 pelabur. Kesemua pelabur ini akan memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 14.3% dari vmo. Memandangkan CrowdPlus juga merupakan salah satu rakan kerjasama Cradle Fund menerusi perjanjian pelaburan bersama (Matching Co-investment), Cradle turut memberikan dana RM 250,000 bagi amaun yang telah berjaya disasarkan. Ini sekaligus menjumlahkan kesemua dana yang diperoleh vmo sebanyak RM 500,000.

Pihak vmo turut menyatakan sehingga kini mereka mempunyai lebih dari 900 lokasi dan lokasi ini termasuklah restoran, tempat-tempat acara, dan meliputi pelbagai kawasan di luar Lembah Klang, termasuklah Pulau Pinang dan Johor Bahru. Mereka turut menyasarkan sebanyak 1500 lokasi tersedia menjelang penghujung tahun ini.

  • Info
  • Cari tempat untuk acara anda: vmo.rocks
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd