Cari @ Amanz

Fitbit telah diperkatakan sedang membangunkan jam tangan pintar tersendiri sejak daripada beberapa bulan yang lepas, malah telah mengambil-alih beberapa syarikat dalam menambah kepakaran mereka dalam membangunkan jam tangan pintar pertama. Kini, lanjutan daripadanya, gambar baru hadir ke arena web, memperlihatkan gambaran pertama untuk jam tangan pintar Fitbit berkenaan.

Fitbit Watch

Fitbit Watch

Hadir daripada Yahoo! Finance, jam tangan pintar pertama daripada Fitbit ini dikatakan bakal dilengkapi sokongan GPS dan sensor memantau denyutan nadi secara terbina. Ia juga dijangka hadir dengan skrin pada kecerahan 1000nits – lebih kurang seperti Apple Watch. Menariknya, jam tangan pintar ini dikatakan bakal menawarkan masa bertahan bateri sehingga 4 hari lamanya, selain turut menyertakan sokongan pembayaran melaluinya, selain memainkan muzik.

Fitbit bakal menggunakan sistem operasi tersendiri, dan mungkin akan hadir dengan kedai aplikasi tersendiri selepas beberapa bulan. Selain daripada jam tangan pintar, Fitbit juga dilihat sedang menyiapkan sebuah fon kepala seumpama BeatsX.

Sebelum ini, Fitbit pernah hadir dengan Fitbit Blaze, tetapi ia masih dipasarkan sebagai jam tangan untuk kecergasan, dan bukannya jam tangan pintar. Jam tangan baru ini dijangka dilengkapi sistem operasi yang dikemaskini, dan melalui kedai aplikasi, ia membolehkan pengguna memuat-turun aplikasi dan sebagainya.

Buat masa ini, ia masih menjadi tanda tanya, bilakah Fitbit akan memperkenalkan jam tangan pintar pertama mereka ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd