Cari @ Amanz

Huawei P10 Lite
Skrin 5.2″ LTPS LCD
1920×1080, 424 ppi
Chipset HiSilicon Kirin 658
CPU 4 x 1.7 GHz Cortex-A53
4 x 2.36 GHz Cortex-A53
GPU Mali-T830MP2
Memori 4GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 12MP, f/2.2, 1080p@30fps
Kamera Hadapan 8MP, f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.1
A-GPS, GLONASS
LTE band 1/3/7/8/20
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM/microSD
Sistem Android 7.0 Nougat + EMUI 5.1
Bateri 3000 mAh
Berat & Ketebalan 146g, 7.2mm
Tempoh Ujian
Peranti
1 bulan

Tahun ini Huawei masih meneruskan kerjasama mereka bercama Leica menerusi Huawei P10, dengan penampilan dwi-kamera (RGB + B/W) untuk menambahbaik fungsi penggambaran. Ia juga hadir dengan spesifikasi yang agak tinggi untuk kegunaan harian, seperti kehadiran cip HiSilicon Kirin 960 dan memori 4GB RAM bagi menggalas tugas dan keperluan mudah-alih anda. Ia juga menawarkan rekaan peranti yang premium dan elegan, melalui rekaan berasaskan logam di dan kaca 2.5D pada bahagian hadapan.

Sebagai memberi pilihan peranti yang lebih berpatutan, mereka telah menghadirkan versi Lite bagi memberi sedikit sebanyak pengalaman dan bayangan berdasarkan apa yang ditawarkan pada flagship mereka. Tradisi ini bermula sewaktu perkenalan Huawei P8, yang mana memberikan kepada pengguna sebuah pilihan yang lebih mampu milik melalui Huawei P8 Lite. Ia ditawarkan pada harga dua kali lebih rendah, tetapi membawakan citarasa penggunaan peranti seumpama Huawei P8.

Huawei P10 Lite masih meneruskan apa yang telah dilakukan pada generasi Lite sebelumnya, dengan penawaran lebih berpatutan untuk ditujukan pada kebanyakan pengguna. Apabila dibandingkan dengan peranti Lite terdahulu, P10 Lite menawarkan rekaan yang lebih bergaya disamping hadir dengan penggunaan RAM yang lebih besar. Ia juga membawakan paparan yang lebih baik, melalui penggunaan panel LTPS IPS LCD yang mana telah hadir pada Honor 8. Dengan penawaran harga RM1,299, spesifikasinya dilihat menarik namun bolehkah ia memberi pengalaman yang baik untuk pengguna?

Rekabentuk

Huawei P10 Lite membawakan rekaan yang sedikit berbeza apabila dibandingkan dengan P10, melalui rekaan berasaskan kaca pada bahagian hadapan dan belakang. Rekaan seperti ini amat menarik dilihat, ia memberikan tampilan rekaan peranti premium seumpama yang hadir pada iPhone 4 dan Galaxy S7/S8. Binaan sisi kaca ini turut membawakan kemasan kaca 2.5D, bagi menampilkan rekaan yang lebih premium apabila melihat peranti ini. Cuma peranti dengan rekaan berkaca ini membuatkan peranti ini terasa licin dan mudah memerangkap kesan cap jari. Namun masalah ini dapat diatasi dengan pemakaian protective case yang sedia disertakan di dalam kotak pembelian peranti.

Rekaan di bahagian belakang P10 Lite masih mengikuti rekaan generasi terdahulu terutama dari segi kedudukan kamera dan pengimbas cap jari. Cuma yang sedikit membezakannya, rekaan kamera dan LED flash kini ditampilkan dalam bentuk bulat, berbanding rekaan sedikit petak pada P9 Lite. Ia kini disertakan dengan kamera utama 12MP f/2.2 dengan pengekalan sokongan lampu LED flash berasaskan satu tona warna. Di bahagian bawahnya pula menampilkan logo Huawei berasaskan perkataan, berbanding logo berbentuk imej pada P9 Lite.

Bahagian bawah peranti menampilkan pembesar suara mono yang cukup memberikan kualiti audio yang lantang untuk harian. Namun satu perkara yang mendukacitakan adalah sambungan pengecasannya yang masih menggunakan sambungan berasaskan microUSB. Sebagai peranti kelas pertengahan untuk keluaran 2017, ia sepatutnya menggunakan sambungan USB-Type-C yang dilihat semakin meluas digunakan pada hari ini.

Satu perkara yang masih tidak didatangkan pada siri lite ialah sokongan IR blaster di bahagian atas yang membolehkan peranti dijadikan sebagai alat kawalan jauh. Sambungan earphone jack 3.5 mm masih dikekalkan pada peranti ini, dengan meletakkannya di bahagian atas peranti. Di bahagian kanan peranti menempatkan butang pelarasan suara dan butang kuasa, seperti mana kedudukan yang hadir pada Huawei P10.

Bercakap mengenai pengimbas cap jari pula, P10 Lite menawarkan masa responsif yang lancar dengan kadar tindak balas sekitar 0.4s. Ketika diuji, pengimbas cap jari ini memberi prestasi yang pantas, dengan kadar keberkesanan untuk menyahkunci peranti sekitar 70%. Ia turut dilengkapi dengan beberapa fungsi tambahan, seperti kebolehan untuk mengunci aplikasi pilihan anda seperti WhatsApp menerusi fungsi App Lock. Ia juga membolehkan anda untuk mengunci sesuatu album di dalam galeri bagi mengelakkan gambar peribadi anda diakses daripada pihak luar.

Rekaan pada bahagian hadapannya menampilkan sedikit perbezaan berbanding Huawei P10 dengan membawakan fungsi pengimbas cap jari ke bahagian belakang. Ruang hadapan peranti ini dihiasi dengan skrin sebesar 5.2-inci 1080p yang memberikan paparan yang cukup terang melalui panel LTPS LCD. Ia dilindungi dengan kaca 2.5D yang diperkuatkan (dengan tahap kekuatanan 7H) namun tidak dinyatakan dengan sebarang penggunaan kaca Gorilla Glass.

Huawei P10 Lite ditawarkan pada satu versi sahaja iaitu versi 4GB RAM + storan dalaman 32GB pada harga RM1,299. Ia menyokong fungsi penambahan storan melalui kad microSD yang membolehkan pengguna menaik taraf storan luaran sehingga 128GB. Namun slot kad ini dikongsi pada ruang sim kedua, sekaligus tidak membenarkan anda memanfaatkan kedua-dua kad sim secara serentak apabila kad microSD sedang digunakan.

Sistem

Huawei P10 Lite dijana dengan EMUI 5.1, iaitu iterasi antaramuka terkini Huawei yang dibangunkan berasaskan Android 7.0 Nougat. Ia membawakan antaramuka yang cukup kemas dan ceria, melalui pelbagai tema terbina, selain memberikan kebolehan tema yang boleh dipasang secara luaran. Menariknya, ia turut membawakan pengoptimasian terbina melalui kaedah machine learning, bagi membolehkan peranti sentiasa beroperasi dengan pantas walaupun digunakan melebihi 18 bulan.

EMUI 5.1 hadir dengan beberapa ciri menarik, seperti kebolehan mengubah homescreen style sama ada untuk meletakkan kesemua aplikasi pada homescreen atau mengaktifkan fungsi app drawer. Melalui perletakkan app drawer, aplikasi dapat disusun atur dengan lebih kemas, selain memudahkan anda mencari aplikasi yang anda ingin gunakan. Antaramuka ini juga membawakan fungsi Knuckle Gestures, iaitu kebolehan mengambil screenshot, membuka apliaksi, dan membuat split-screen dengan hanya membuat isyarat pada skrin dengan menggunakan knuckle. EMUI juga masih menawarkan fungsi one-handed UI untuk kemudahan kawalan sebelah tangan, dengan hanya membuat swipe ke kiri atau kanan pada navigation bar.

Sebagai peranti dengan Android 7.0 Nougat, ia menyokong beberapa fungsi menarik seperti multi-window yang membolehkan pengguna menjalankan dua aplikasi dalam satu paparan. Ia juga menyokong fungsi Direct Reply, iaitu kebolehan membuat reply terus daripada notifikasi yang hadir, selain turut menawarkan sejumlah emoji baru berasaskan Unicode 9.0. Ia juga menawarkan beberapa fungsi lain seperti kebolehan mengubah saiz paparan, Doze-on-the-Go untuk fungsi penjimatan bateri ketika bergerak.

Prestasi

Huawei P10 Lite dijana dengan cip HiSilicon Kirin 658 iaitu cip kelas pertengahan yang dibina berasaskan 16nm FinFET. Ia membawakan cip lapan-teras dengan dua pecahan kluster, menerusi 4 x Cortex-A53 2.36 GHz dan 4 x Cortex-A53 1.7 GHz. Dengan penggunaan kluster seperti ini, penggunaan bateri dapat dijimatkan, dengan mengutamakan sesuatu kluster ketika penggunaan berkuasa (seperti memainkan permainan) dan penggunaan biasa (seperti melayari aplikasi media sosial).

Apabila diuji melalui AnTuTu Benchmark, prestasinya boleh dikatakan hampir menyamai cip Snapdragon 625, yang mana turut dibina dengan binaan lapan teras Cortex-A53. Ia mencatatkan bacaan mata sekitar 55305 iaitu bacaan standard cip kelas pertengahan untuk tahun 2016-2017 yang sering mencatatkan mata sekitar 55k-70k. Sebagai perbandingan, cip Snapdragon 625 yang hadir pada Moto G5 Plus mampu memberikan mata sekitar 63189, sementara Exynos 7880 yang hadir pada Samsung Galaxy A5 (2017) mencatatkan mata sekitar 61020.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, peranti ini mampu beroperasi dengan lancar, terutama ketika membuka dan membuat penukaran aplikasi. Memainkan permainan popular seperti Asphalt: Xtreme, Dead Trigger, dan Modern Combat 5 dapat dimainkan dengan begitu lancar, dengan bacaan frame rate yang konsisten. Melalui penggunaan memori 4GB RAM, ia mampu menggalas sekitar 15+ aplikasi untuk terus berjalan secara background, bagi mengelakkan aplikasi direload apabila diakses semula.

Kamera

Huawei P10 Lite didatangkan dengan kamera utama yang sedikit dikurangkan dari segi piksel dan saiz aperture berbanding P9 Lite (13MP f/2.0) melalui kamera 12MP dengan keupayaan aperture f/2.2. Walaupun sedikit dikurangkan, prestasi yang dipersembahkan masih memberi kualiti gambar yang cukup jitu dengan keperician imej yang tajam. Perwarnaan yang dipersembahkan juga boleh dikatakan hampir kepada neutral, walaupun kadalangka sedikit saturated apabila keadaan sekeliling menerima cahaya berlebihan.

Prestasi kamera malamnya saya boleh kata agak baik, terutama dari segi perwarnaan yang dipersembahkan. Warnanya cukup terang, cuma kepericiannya kadang kala boleh menjadi soft sekiranya ia tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi. Untuk lokasi yang mempunyai pencahayaan yang baik atau indoor, ia mampu mengambil gambar dengan kualiti yang jitu dengan keperician imej yang tajam.

Untuk keupaayan kamera hadapannya, ia masih mengekalkan sensor 8MP seperti Huawei P9 Lite namun kini dilengkapi dengan fungsi autofokus. Kualitinya walau bagaimanapun kelihatan agak soft dan tidak setajam peranti sekelasnya yang memfokuskan kepada selfie. Perwarnaan juga boleh menjadi saturated sekiranya anda mengambil selfie berhadapan dengan cahaya yang berlebihan.

Dari segi fungsi yang disajikan pula, ia membawakan beberapa mod standard seperti mod panorama, slow-motion, dan time-lapse dalam memberi penawaran yang boleh dipadankan pada gambar anda. Ia turut menyokong fungsi beautify mode yang boleh dilaraskan, dengan sokongan untuk penggunaan kamera hadapan dan juga belakang. Beberapa fungsi tambahan lain turut boleh didapati seperti Light Painting, Good Food, Watermark, Audio note, dan Document scan.

P10 Lite turut menyokong fungsi kawalan manual yang mana boleh digunakan sewaktu penggambaran imej dan video. Sewaktu mengambil gambar, kawalan manual ini membolehkan pengguna mengubah tetapan ISO (100-1600), shutter speed (1/4000-8s), exposure, fokus (AF-S, AF-C, Manual Focus) dan white balance.

Dari segi kebolehan rakaman video, ia mampu membuat rakaman video beresolusi VGA, HD, dan Full HD, tanpa sebarang sokongan rakaman 4K seperti peranti Lite sebelum ini. Kualitinya mampu memberikan hasilan rakaman yang cukup terang dengan perwarnaan yang vivid, namun terdedah dengan masalah gegaran akibat ketiadaan EIS dan OIS. Saya cukup suka dengan kawalan dynamic range pada rakaman video ini, yang mana mampu memberi keseimbangan cahaya latar belakang dan objek yang baik sewaktu rakaman dibuat.

Bateri

Huawei P10 Lite membawakan kapasiti bateri seperti P9 Lite sebelum ini melalui kapasiti bateri sebesar 3000 mAh. Dengan kehadiran cip HiSilicon Kirin 658 yang dibina berasaskan 16nm FinFET, ia mampu memberi penjimatan tenaga yang lebih efisien sekaligus menawarkan jangka hayat bateri yang lebih lama.

Hasil bacaan bateri yang dipaparkan pada Huawei P10 lite ini mencatatkan bacaan yang amat baik, dengan menawarkan Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 23 minit untuk masa bertahan selama 24 jam. Ia suatu bacaan bateri yang baik, dengan memberikan masa bacaan SoT melebihi 4 jam untuk tempoh penggunaan melebihi 24 jam. Bacaan ini setanding dengan peranti sekelasnya, seperti Vivo V5, Oppo F1s, yang turut mencatatkan bacaan SoT sekitar 6 jam untuk penggunaan sepanjang hari.

Huawei P10 lite turut membawakan fungsi pengecasan pantas terbina yang menggunakan teknik pengecasan 18V/2A. Kehadiran teknologi ini mampu mengurangkan masa pengecasan peranti dengan drastik, dengan mengambil masa sekitar 1 jam 37 minit sahaja untuk mengecasa dari 0-100%. Ia meninggalkan masa pengecasan Vivo V5s, yang mana mengambil masa sekitar 2 jam 43 minit dengan jumlah kapasiti bateri yang sama.

Rumusan

Huawei P10 Lite menawarkan sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup seimbang, melalui penawaran prestasi yang pantas dan kemampuan bateri sepanjang hari. Ia juga hadir dengan rekaan yang menarik dan elegan, memberi nilai kepada anda yang mengutamakan rupa tubuh peranti sebagai kriteria pilihan anda. Kamera utamanya juga mampu beraksi dengan baik, dengan menawarkan penggambaran yang terang, baik untuk penggambaran waktu siang mahupun malam.

Cuma ada perkara kekurangan yang saya dapati antaranya ketiadaan rakaman 4K yang mungkin mempengaruhi pilihan anda sekiranya anda mengutamakan aspek rakaman video. Sebagai peranti kelas pertengahan pada tahun 2017, penggunaan sambungan Micro USB sepatutnya digantikan dengan USB Type-C, bagi membolehkan pengguna memanfaatkan kabel yang boleh disambungkan dari mana-mana arah. Perkara akhir yang menjadi kekurangan peranti ini ialah slot sim berasaskan hibrid tidak membolehkan menggunakan kad sim dan microSD secara serentak.

Pro
  • Hadir dengan rekaan berasaskan kaca yang kelihatan sangat menarik.
  • Skrin LTPS LCD memberi tahap keterangan yang lebih baik berbanding IPS LCD.
  • Cip HiSilicon Kirin 658 memberi prestasi harian yang lancar dan pantas.
  • Menawarkan ketahanan bateri yang lama dengan bacaan SoT melebihi 6 jam+.
  • Pengimbas cap jari hadir dengan fungsi seperti App Lock dan kebolehan mengunci fail.
  • Kehadiran memori 4GB RAM menawarkan kelancaran yang lebih menyeluruh ketika melakukan multitasking.
  • EMUI 5.1 menawarkan antaramuka yang ceria dengan sokongan tema.
Kontra
  • Slot SIM berasaskan hibrid.
  • Tidak menyokong rakaman 4K.
  • Masih menggunakan sambungan Micro USB berbanding USB Type-C.

P10 lite dilihat bersaing dengan beberapa peranti terkemuka seperti Honor 6X yang mana memberi kelebihan fungsi dwi-kamera pada harga bermula RM1,199. Untuk keupayaan selfie, ia juga bersaing dengan Vivo V5s yang mana ditawarkan pada harga RM1,299. Peranti ini menawarkan keupayaan kamera hadapan yang lebih baik, menerusi kamera 20MP f/2.0 untuk hasil penggambaran yang lebih tajam dan menyerlah. Sekiranya bajet anda tidak mengizinkan, Huawei Nova Lite adalah alternatif terbaik dengan penawaran yang hampir serupa seperti P10 lite, namun pada harga separuh daripada harga peranti ini dengan hanya RM699.

Pendek kata, Huawei P10 lite mampu memberikan anda sebuah peranti kelas pertengahan yang unggul atas penawaran fungsi yang seimbang bersama rekaan yang begitu elegan. Walaupun ditawarkan dalam pakej peranti kelas pertengahan, ia menyajikan sebuah peranti yang kelihatan sangat bergaya, membuatkan ia salah satu peranti yang menarik untuk dilihat pada segmen kelas ini. Dengan harga RM1,299, ia amat disyorkan bagi anda yang sedang mencari peranti dengan prestasi yang pantas, kamera harian yang baik, bersama ketahanan bateri sepanjang hari dalam bentuk peranti yang cukup menarik perhatian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd