Microsoft Memperkenalkan Windows 10 S – Memfokuskan Kepada Pengguna Di Sekolah

Microsoft Memperkenalkan Windows 10 S – Memfokuskan Kepada Pengguna Di Sekolah

Diterbitkan pada Mei 2, 2017 oleh .

Microsoft hari ini telah mengadakan sebuah acara khusus memfokuskan kepada pendidikan, dan padanya, gergasi perkomputeran berkenaan telah pun melancarkan Windows 10 S – sebuah sistem operasi baru yang memfokuskan kepada penggunaan di sekolah dan institusi pendidikan.

Windows 10 S dilihat lebih kepada seperti kelahiran semula Windows RT. Microsoft mengatakan sistem operasi ini boleh menjalankan sebarang perisian yang ditawarkan melalui Windows Store. Memandangkan ia lebih ditujukan kepada pengguna pendidikan, ia lebih masuk akal kerana institusi pendidikan boleh mengawal apa yang dipasang serta memastikan sekuriti adalah selamat.

Windows 10 S

Windows 10 S

Daripada demonstrasi yang dipertontonkan, Windows 10 S boleh dilog masuk dengan lebih pantas berbanding Windows 10 Pro – kerana pemprosesan yang dijalankan adalah lebih terhad berbanding kebiasaan.

Pengenalan Microsoft ini dilihat seperti jawapan kepada Chromebook yang semakin popular di kalangan pengguna di sekolah – termasuk di Malaysia.

Melengkapkan Windows 10 S adalah dimana Microsoft mengatakan mereka menawarkannya secara percuma kepada sekolah dengan lesen Windows Pro, selain turut menawarkan Minecraft untuk pendidikan secara percuma, Office 365 untuk pendidikan, dan juga Microsoft Teams.

Seperti biasa, sejumlah pengeluar komputer akan hadir dengan komputer menjalankan Windows 10 S ini. Microsoft mengatakan komputer riba pada harga bermula $189 akan ditawarkan daripada rakan kerjasama mereka, iaitu sekitar RM818 mengikut tukaran mata wang semasa.


TIPS & ULASAN