Cari @ Amanz

Vivo pada sebelum ini telah hadir dengan Vivo V5 yang memfokuskan kepada kegunaan selfie. Ia didatangkan dengan kamera hadapan 20MP bersama teknologi soft light dalam membantu untuk mendapatkan hasil selfie yang menarik, seolah-olah diambil di dalam studio. Peranti Vivo V5 ini telah menerima kemaskini melalui model seterusnya menerusi Vivo V5s yang mana turut ditawarkan pada harga yang sama. Di Malaysia, ia telah ditawarkan pada harga RM1299 sekaligus meletakkannya bersaing dengan beberapa peranti di pasaran seperti Oppo F1s, Xperia XA1, dan Huawei P10 Lite.

Vivo V5s secara kasarnya masih mengekalkan spesifikasi yang hampir sama seperti Vivo V5, namun storan kapasitinya telah ditingkatkan daripada 32GB kepada 64GB. Rekaan di bahagian belakangnya juga diberikan kemaskini, yang kini menampilkan rekaan seumpama Vivo V5 Plus. Ia juga memberi pilihan warna baru menerusi Matte Black, sebagai penambahan kepada warna sedia seperti Gold dan Rose. Satu lagi pembaharuan ialah antaramukanya yang kini menjalankan Funtouch OS 3.0, dengan penambahan fungsi baru seperti Clone App.

Rekaan & Spesifikasi

Vivo V5s
Chipset MediaTek MT6750
CPU 8 x Cortex A53 1.5 GHz
GPU Mali-T860MP2
Memori 4GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 20MP, rakaman 720p
Skrin 5.5-inci IPS, 1280×720 piksel, 267 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Funtouch OS 3.0 berasaskan Android 6.0
Bateri 3000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 154g, 7.6mm

Peranti ini menawarkan saiz binaan yang hampir serupa dengan Vivo V5, yang mana menerupai saiz iPhone 7 Plus. Tetapi binaan belakangnya kini telah membawakan rekaan seperti Vivo V5 Plus yang mana banyak dipengaruhi daripada rekaan iPhone 7. Rekaan antenanya kini ditempatkan di bahagian sisi bingkai bagi memberikan penampilan yang ringkas dan kemas.

Bahagian belakang ini juga membawakan kamera utama 13MP f/2.0 dengan rekaan sedikit tersembul keluar. Berhampiran dengan kamera utama ini turut menempatkan LED flash, namun hadir dengan sokongan flash satu tona warna sahaja.

Pada bahagian bawah peranti pula membawakan pembesar suara mono, sambungan Micro USB, mikrofon, dan sambungan audio jack 3.5mm. Pada bahagian sisi kanan peranti membawakan butang pelarasan suara dan butang kuasa, yang mana ditempatkan pada kedudukan yang standard. Pada bahagian kirinya pula didatangkan dengan slot sim yang dibina berasaskan rekaan hibrid.

Dari segi paparannya pula masih mengekalkan panel IPS LCD pada saiz 5.5-inci dengan resolusi 720p. Skrin peranti ini walaupun hadir dengan resolusi HD, ia masih baik dilihat untuk kegunaan harian melalui ketumpatan piksel 267 ppi. Cuma sebagai peranti penerus untuk menggantikan peranti sebelumnya, adalah lebih baik sekiranya ia hadir dengan resolusi 1080p. Di bahagian atas hadapan peranti telah membawakan kamera hadapan 20MP, saluean earpiece, proximity sensor, dan sokongan LED flash.

Pada bahagian bawah hadapan peranti ini telah membawakan butang home dengan rekaan statik yang mana turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Butang di bahagian kirinya pula menempatkan butang multitasking, dan di bahagian kanannya pula menawarkan butang back. Kedua-dia butang ini turut membawakan sokongan cahaya bagi memudahkan anda menavigasinya ketika waktu gelap.

Vivo V5s turut menambahbaik kapasiti storan yang kini membawakan storan 64GB. Ia suatu storan yang besar, tetapi sekiranya anda ingin menaiktaraf dengan storan yang lebih lagi, ia boleh ditingkatkan melalui kad microSD sehingga 128GB. Sokongan penambahan storan ini walau bagaimanapun menggunakan slot sim kedua, sekaligus tidak membenarkan anda memanfaatkan kedua-dua sim dan microSD secara serentak.

Funtouch OS 2.6 Berasaskan Android 6.0

Antaramuka Vivo V5s telah dinaiktaraf ke Funtouch OS 3.0 berbanding Funtouch OS 2.6 pada Vivo V5 sebelum ini. Ia masih dijalankan di atas Android 6.0 Marshmallow, yang mana bersesuaian dengan kemampuan cip pemprosesan peranti ini. Antaramukanya memberikan sokongan tema yang boleh diubah melalui aplikasi “i Theme”, dengan kebolehan tema yang boleh dimuat-turun. Tampilan launcher masih tidak memberikan sebarang sokongan app drawer, dengan perletakkan kesemua aplikasi pada homescreen.

Seperti Funtouch OS sebelum ini, ia menampilkan rekaan butang akses pantas di bahagian bawah, menyerupai Control Center yang hadir pada iOS. Apabila anda menyeret jari dari bahagian atas skrin, ia menampilkan ruang paparan notifikasi, tanpa sebarang butang yang boleh diakses. Antaramukanya tidak banyak berubah berbanding versi 2.6, tetapi pada versi 3.0 ini ia telah hadir dengan fungsi App Clone yang membolehkan anda membuat aplikasi pendua untuk membuat log masuk dua akaun berbeza.

Kamera

Sebagai peranti yang memfokuskan selfie, ia masih mengekalkan kamera hadapan 20MP untuk kebolehan selfie yang terang dan tajam. Ia juga boleh digunakan ketika waktu gelap, melalui bantuan LED flash dengan cahaya soft light untuk kamera hadapan ini. Pada percubaan awal, hasilnya amat baik, yang mana memberikan keperincian selfie yang cerah dalam kebanyakan situasi penggambaran.

Kamera utama peranti ini masih mengekalkan sensor 13MP seperti Vivo V5 dengan sokongan Phase Detection Auto Focus (PDAF). Seperti kebolehan kamera hadapan, ia membawakan lampu LED flash namun untuk membantu ketika penggambaran malam. Dari segi fungsi, ia membawakan fungsi Ultra HD yang membolehkan anda mendapatkan gambar pada resolusi 50MP. Ia juga hadir dengan fungsi PPT bagi memudahkan anda mengambil gambar yang dioptimasikan untuk perbentangan PowerPoint. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti Prossesional, Night, Time-Lapse, dan Slow Motion untuk dipadankan pada keperluan fotografi anda.

Prestasi

Dari segi prestasi, Vivo V5s telah dijana dengan cip MediaTek MT6750, yang dibina berasaskan lapan-teras Cortex-A53 1.5 GHz. Apabila diuji pada AnTuTu Benchmark, ia memberikan mata sekitar 41,180 yang mana bersesuaian untuk penggunaan harian. Ia boleh dikatakan menyerupai prestasi cip Snapdragon 615 yang turut memberikan mata sekitar 40k pada aplikasi ujian benchmark ini. Untuk penggunaan di dunia sebenar, aplikasi dapat dibuka dengan pantas, tanpa sebarang isu lag ketika membukanya. Prestasi ketika memainkan permainan juga lancar, terutama ketika memainkan permainan bercorakkan kasual.

Bateri

Vivo V5s turut mengekalkan kapasiti bateri sebesar 3000 mAh seperti yang hadir pada Vivo V5. Dengan resolusi 720p, ia mudah memberikan penggunaan peranti sepanjang hari, bermula di pagi hari sehingga ke waktu malam. Ketika awal menggunakan peranti ini, saya mudah mendapatkan Screen-on-Time (SoT) di atas 6 jam dengan penggunaan aplikasi harian dan memainkan permainan kasual.

Rumusan

Vivo V5s dilihat masih mengekalkan momentum seperti Vivo V5 sebelum ini dengan fokus terhadap fungsi selfie. Kehadiran kamera hadapan 20MP sememangnya membantu untuk mendapatkan selfie yang lebih sempurna berbanding peranti-peranti lain di pasaran. Kehadiran lampu LED flash dengan cahaya soft light juga memberikan peningkatan kepada kualiti selfie, terutama yang gemar mengambil selfie pada lokasi indoor dan situasi kurang cahaya.

Rekaan peranti ini juga hadir dengan rekaan lebih menarik berbanding sebelumnya, dengan citarasa binaan belakang seperti iPhone 7. Rekaan antenanya lebih kemas, menyajikan kepada pengguna dengan rekaan peranti yang elegan untuk dipadankan bersama personaliti anda. Ia telah hadir dengan pilihan warna Rose Gold, Gold, dan Matte Black yang mana sesuai untuk semua pengguna.

Spesifikasi yang hadir walaupun tidak diberi penaiktarafan yang ketara, ia masih beroperasi dengan pantas untuk penggunaan harian. Dengan peningkatan storan setinggi 64GB, pengguna tidak perlu risau untuk mengambil gambar, video, dan memasang aplikasi walaupun tidak mempunyai sebarang kad microSD. Ketahanan baterinya juga mampu memberikan penggunaan sepanjang hari, membolehkan anda menjalankan aplikasi dan mengambil gambar selfie dengan lebih lama.

Vivo V5s telah ditawarkan pada harga RM1299 iaitu harga yang sama dibawa pada Vivo V5 sebelum ini. Dengan peningkatan storan yang lebih tinggi, Vivo V5s direka untuk memberikan kebebasan yang lebih terbuka untuk penggunaan selfie, tanpa perlu risau dengan storan yang tidak mencukupi. Dengan penambahan warna baru iaitu Matte Black, ia juga lebih mudah disasarkan kepada golongan lelaki yang mahukan penampilan peranti yang elegan dan bergaya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd