Cari @ Amanz

Tidak lama dahulu, MSI memperkenalkan kad grafik MSI GeForce GTX 1080 Ti SeaHawk, sebuah kerjasama diantara pihak MSI dan Corsair untuk membina sebuah kad grafik yang disejukkan menggunakan penyejuk cecair AIO yang mudah dipasang.

Bagi mereka yang mahu membina komputer dengan penyejuk cecair yang khusus, MSI baru sahaja mengumumkan model kad grafik GTX 1080 Ti terbaru mereka, iaitu MSI GeForce GTX 1080 Ti SeaHawk EK X, yang merupakan sebuah usaha-sama bersama-sama dengan pembuat penyejuk cecair khas komputer terkemuka EKWB.

Penyejuk EKWB yang digunakan menutup penuh keseluruhan papan PCB kad tersebut, dan untuk kad ini, MSI menggunakan papan PCB yang sama yang digunakan oleh kad MSI GeForce GTX 1080 Ti Gaming X mereka yang lebih panjang sedikit daripada papan PCB yang digunakan oleh kad rekaan asas NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti.

Dari segi komponen pula, cip pemprosesan grafik yang digunakan dalam kad ini mempunyai kelajuan asas yang di-overclock kepada 1157MHz, dan kelajuan Boost Clock selaju 1657MHz. Kemampuan kad ini juga boleh ditingkatkan lagi dengan menggunakan pilihan OC Mode, yang akan membuatkan kad ini memproses grafik dengan lebih laju lagi.

Kad grafik ini memerlukan dua palam 8-pin PCIe untuk menguasakannya, dan hadir dengan dua port HDMI, dua DisplayPort dan satu port DVI-D.

Buat masa ini, kad grafik MSI GeForce GTX 1080 Ti masih belum diberi tanda harga lagi, dan syarikat tersebut juga masih belum mengeluarkan pengumuman tentang tarikh kehadirannya, tetapi besar kemungkinan kita akan melihat kad ini beraksi di acara COMPUTEX Taipei tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd