Carian
Opera Max 3.0 Untuk Android Hadir Dengan Antaramuka Baru – Termasuk Sokongan Facebook
May 7, 2017 Aman

Opera Max merupakan salah satu aplikasi daripada pengeluar pelayar web mudah-alih popular, Opera. Melalui aplikasi ini, ia memfokuskan kepada kebolehan menjimatkan data telekomunikasi anda, sekaligus membolehkan anda melayari lebih banyak perkara, dan menggunakan data yang sedikit untuk membuka sesuatu laman atau aplikasi. Disamping itu, ia memberikan sokongan sekuriti tambahan memandangkan data yang melalui apabila aplikasi ini aktif adalah disulitkan dan menyukarkan pengodam mencuri data anda – terutamanya ketika menggunakan rangkaian WiFi terbuka.

Terkini, Opera telah pun melancarkan Opera 3.0 yang hadir dengan beberapa ciri-ciri baru, selain antaramuka yang dikemaskini. Melalui perubahan baru ini, pengguna boleh melihat kepada sesuatu tab pada bahagian bawah – dan mengawal ketika mereka menggunakan rangkaian mudah-alih atau WiFi. Disamping itu, anda turut boleh menyemak berapakah data yang digunakan dan telah dijimatkan oleh aplikasi ini.

Opera Max Facebook

Pada Opera Max 3.0 juga, salah satu ciri yang hadir adalah fokus kepada penjimatan data menggunakan aplikasi Facebook. Seperti ramai sedia maklum, Facebook menggunakan data dan tenaga bateri yang tinggi – terutamanya jika ia berjalan di latar.

Melalui Opera Max, kini pengguna Android boleh menjimatkan sehingga 50% data ketika menggunakan Facebook, sekaligus membolehkan data anda digunakan untuk tujuan lain. Opera menjayakan ia melalui penawaran aplikasi Facebook web secara terbina pada Opera Max.

Langkah ini mungkin mengembirakan sejumlah besar pengguna – terutamanya jika langganan prabayar atau pascabayar tidak hadir dengan penawaran layaran Facebook percuma tanpa had.

Bagi anda yang menggunakan peranti Android, boleh memuat-turun Opera Max hari ini, dan memulakan proses penjimatan data anda.

Komen