Cari @ Amanz

Samsung Galaxy C9 Pro
Skrin 6.0″ Super AMOLED
1920×1080, 367 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 653
CPU 4 x 1.95 GHz Cortex-A72
4 x 1.4 GHz Cortex-A53
GPU Adreno 510
Memori 6GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 16MP, f/1.9, 1080p@30fps
Kamera Hadapan 16MP, f/1.9, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2, NFC
A-GPS, Glonass, Beidou
LTE band 1/3/5/7/8/38/40/41
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM + microSD
Sistem Android 6.0.1 Marshmallow
Bateri 4000 mAh
Berat & Ketebalan 162g, 6.9mm
Tempoh Ujian
Peranti
1 minggu

Tahun lalu, Samsung telah mula membawa penjenamaan “Pro” pada siri Samsung Galaxy mereka bermula dengan Galaxy A9 Pro. Penjenamaan ini dilihat memfokuskan kepada rekaan skrin sebesar 6-inci selain menawarkan memori melebihi 4GB RAM, bersama cip pemprosesan kelas pertengahan pada harga sedikit rendah berbanding peranti flagsip. Pada Galaxy A9 Pro, ia juga membawa kapasiti bateri yang tinggi dengan penawaran kapasiti setinggi 5000 mAh.

Galaxy C9 Pro pula membawa penawaran yang hampir menyerupai dengan apa yang dibawa melalui A9 Pro, yang turut dikuasakan dengan skrin 6-inci. Ia juga membawa peningkatan memori yang kini dibekalkan dengan memori setinggi 6GB RAM, dalam memberi kemampuan multitasking yang menyeluruh pada sesebuah peranti mudah-alih. Namun kapasitinya sedikit kecil berbanding Galaxy A9 Pro, yang mana kini menawarkan kapasiti standard 4000 mAh untuk peranti dengan skrin sebesar 6-inci ini.

Galaxy C9 Pro juga dilihat memberi persaingan kepada Oppo R9s Plus dengan penawaran spesifikasi yang hampir serupa. Oppo R9s Plus telah hadir dengan skrin 6-inci berasaskan AMOLED, cip pemprosesan Snapdragon 653, memori 6GB RAM, kamera 16MP f/1.7, bersama bateri berkapasiti 4000 mAh. Namun harga peranti Oppo ini dilihat mempunyai berbezaan sebanyak RM199, iaitu RM2498 berbanding RM2299 untuk harga Galaxy C9 Pro.

Sebagai peranti dengan penjenamaan “Pro”, Galaxy C9 Pro boleh dikatakan mempunyai penawaran spesifikasi pada kadar sederhana-tinggi, dengan harga 2/3 daripada peranti flagship. Dengan penawaran skrin 6-inci, ia dilihat mensasarkan pengguna yang mahukan peranti dengan skrin bersaiz besar, bersama-sama dengan peranti yang mampu memberi kelancaran prestasi yang pantas untuk penggunaan harian dan permainan.

Rekabentuk

Sekilas pandang peranti ini mengingatkan saya dengan rekaan peranti Oppo dan Vivo, baik dari segi bahagian hadapan dan belakangnya. Ia tidak seperti kebanyakan peranti terkini Samsung Galaxy A, yang mana lebih menyerupai penawaran seumpama flagship melalui rekaan berasaskan kaca. Tetapi pada pada Galaxy C9 Pro, ia hadir dengan rekaan logam seperti Galaxy J7 Prime tetapi besar dan berkuasa seperti Galaxy A9 Pro.

Seperti Galaxy C9, ia menampilkan garisan antena yang boleh dilihat, tetapi kini diperhalusi dengan rekaan tiga garisan. Rekaan kameranya juga telah dikurangkan dari segi ketebalannya, namun tidak lagi dihiasi dengan bingkai berwarna hitam di sekeliling kamera seperti Galaxy C9. Ia juga agak nipis melalui ketebalan peranti sebanyak 6.9 mm, tetapi pengalaman memegangnya tidak begitu memuaskan. Dengan saiz telefon 6-inci, rekaan sisi telefon yang agak tajam membuatkan ia tidak begitu selesa apabila memegangnya pada jangka masa lama. Ia tidak seperti memegang Galaxy A9 Pro yang mana lebih selesa dipegang melalui ketebalan 7.9mm.

Bercakap mengenai port sambungan, ia masih membawakan earphone jack 3.5mm yang mana terletak di bahagian bawah peranti. Bersebelahan dengan sambungan ini telah menempatkan sambungan USB-C yang mana turut menyokong fungsi pengecasan pantas. Menarik mengenai peranti ini, ia hadir dengan pembesar suara berasaskan stereo, dengan menjadikan earpiece sebagai saluran pembesar suara kedua. Ia juga membawa dua saluran mikrofon, pada bahagian atas dan bawah peranti bagi memudahkan anda merakam sesuatu perbincangan atau temubual dua hala.

Dari segi paparan, Galaxy C9 Pro telah membawakan skrin bersaiz 6-inci seperti yang hadir pada Galaxy A9 Pro. Ia juga menawarkan teknologi paparan yang serupa, melalui panel Super AMOLED dengan resolusi 1080p. Kualiti skrinnya dilihat terang dan tajam untuk penggunaan harian, yang mana turut mudah dilihat di bawah sinaran matahari. Sebagai memberi perlindungan pada paparan ini, ia telah didatangkan dengan kaca Gorilla Glass 3 bagi mengurangkan retakan dan kesan calar hasil daripada kecuaian pengguna. Di bahagian atas peranti menempatkan kamera selfie 16MP f/1.9, earpiece, proximity sensor bersama sokongan LED notifikasi yang disembunyikan di bahagian bawah kaca paparan peranti.

Di bahagian bawah paparan ini menempatkan tiga butang, terdiri daripada dua butang kapasitif berlampu yang mana bertindak sebagai butang multitasking dan back. Butang home di bahagian tengah pula direka berasaskan butang yang boleh ditekan, yang mana turut membawakan berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Dari segi masa tindak balas, pengimbas cap jari ini berprestasi dengan pantas, yang mana saya boleh kata tindak balasnya sekitar 0.4s. Ia juga mempunyai beberapa fungsi menarik, seperti kebolehan mengunci aplikasi dan fail, serta memudahkan anda membuat log masuk ketika pelayaran web.

Dari segi kedudukan butang, butang kuasa telah ditempatkan pada bahagian sisi kanan peranti yang mana mudah untuk dicapai pada sebelah tangan. Begitu juga dengan butang pelarasan suara, ia terletak pada sisi kiri peranti yang mana lokasinya begitu sesuai untuk rekaan peranti sebesar 6-inci. Apa yang menarik lagi, ia juga membawakan slot dwi-sim dan slot kad microSD berasingan bagi memudahkan anda memanfaatkan kedua-dua sim dan storan microSD secara serentak. Dari segi storan, ia menawarkan storan 64GB yang boleh dinaikraf sehingga 256GB melalui storan microSD.

Sistem

Antaramuka Galaxy C9 Pro telah dijana dengan Touchwiz UI yang mana dikuasakan berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Antaramuka ini menampilkan antaramuka yang kemas dan ceria, melalui tampilan ikon yang moden dan bersama pilihan warna yang cukup menyerlah. Rekabentuk paparannya juga dikuasai dengan rekaan ringkas dan minimalis, membawakan sentuhan seumpama yang hadir pada Material Design. Ia juga berprestasi dengan lancar, tidak seperti Touchwiz versi terdahulu yang agak berat dan mengganggu kelancaran prestasi.

Tampilan homescreen yang dibawa oleh antaramuka ini masih membawakan fungsi app drawer bagi membolehkan aplikasi-aplikasi ditempatkan dengan lebih teratur. Kesemua aplikasi yang berada pada app drawer ini boleh disusun mengikut pilihan anda, tidak dihadkan mengikut abjad sahaja seperti yang dilakukan pada Google dan Pixel Launcher. Ia juga membenarkan anda untuk membuat penukaran tema mengikut mood dan pilihan anda, melalui sokongan Samsung Themes yang menempatkan sejumlah tema yang boleh dimuat-turun.

Touchwiz UI juga menampilkan beberapa fungsi menarik antaranya Secure Folder sebagai pusat sehenti untuk mengunci aplikasi dan fail peribadi anda. Ia juga menyertakan Samsung Health, iaitu aplikasi pemantauan aktiviti kecergasan harian anda bersama sokongan sync untuk diselaraskan pada peranti Android lain. Walaupun dijana dengan Android 6.0 Marshmallow, antaramuka ini masih memberikan sokongan multiwindow untuk membolehkan dua aplikasi berjalan secara serentak pada skrin peranti ini.

Samsung juga membawakan fungsi Always On Display pada Galaxy C9 Pro ini bagi memudahkan anda melihat jam dan paparan notifikasi secara berterusan. Ia juga mengekalkan beberapa fungsi yang telah hadir pada peranti Samsung sebelum ini seperti Smart Stay, Smart Capture, dan one-handed operation, bersama kebolehan melancarkan fungsi kamera dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Bagi penggemar Radio FM, fungsi ini turut disediakan di dalam peranti ini yang mana memerlukan sambungan earphone untuk menggunakannya.

Prestasi

Galaxy C9 Pro telah dijana dengan cip pemprosesan lapan-teras Snapdragon 653, iaitu cip pemprosesan yang sama digunakan pada Oppo R9s Plus. Ia membawakan dua kluster penggunaan berbeza, yang terdiri daripada kluster penggunaan berkuasa dan kluster penggunaan tenaga efisien. Kluster penggunaan berkuasa terdiri daripada 4 x Cortex-A72 1.95 GHz manakala kluster penggunaan tenaga efisien mewakili 4 x Cortex-A53 1.4 GHz. Hasil rekaan seperti ini membolehkan cip mengutamakan sesuatu kluster dengan lebih terperinci sekaligus memberi pengoptimasian dari segi prestasi dan juga jangka hayat bateri.

Apabila diuji pada aplikasi AnTuTu Benchmark, Galaxy C9 Pro memberikan mata yang agak tinggi untuk peranti kelas pertengahan, melalui mata sebanyak 84,122. Ia menyamai prestasi Samsung Galaxy Note 5 (2015) yang memberikan mata sebanyak 83,944 apabila diuji melalui aplikasi penanda aras ini. Prestasi yang hadir pada C9 Pro ini juga telah meninggalkan beberapa flagship keluaran tahun-tahun lalu seperti Galaxy S6 Edge dengan mata sekitar 81,087, HTC One M9 (79,965), dan Xperia Z5 (76,862).

Apabila digunakan pada dunia sebenar, peranti ini cukup cemerlang dalam menggalas sejumlah tugasan harian pada peranti tanpa sebarang isu lag atau hiccup. Membuka aplikasi dapat dibuka dengan serta merta yang mana tidak memerlukan masa sekitar 1-3 saat untuk menunggu aplikasi tersedia. Begitu juga dari segi prestasi ketika penukaran aplikasi atau multitasking, aplikasi-aplikasi di belakang tabir dapat ditahan dalam jumlah aplikasi yang cukup besar, melalui penggunaan memori gergasi 6GB RAM. Membuka puluhan tab pada Chrome juga tidak memberi masalah reload apabila pengguna mengakses semula tab yang dibuka terdahulu.

Prestasi permainannya juga memberi kelancaran yang cukup cemerlang ketika memainkan permainan dengan grafik intensif. Memainkan permainan Assassin’s Creed: Identity, GTA: San Andreas, dan Bully: Anniversary Edition dapat dimainkan pada kadar frame rate yang konsisten walaupun ditetapkan pada tetapan grafik tinggi. Penggunaan GPU Adreno 510 sememangnya banyak membantu dalam mengemudi prestasi permainan pada peranti ini apatah lagi dibantu dengan 6GB RAM yang menawarkan ruang memori yang lebih luas.

Kamera

Samsung Galaxy C9 Pro telah membawakan kamera utama 16MP f/1.9 seperti yang didatangkan pada Galaxy A9 Pro. Ia dilengkapi dengan sokongan seperti Phase Detection Autofocus (PDAF) bersama tampilan LED flash dwi-tona cahaya untuk perwarnaan yang lebih neutral. Namun satu sokongan yang tidak hadir ialah sokongan Optical Image Stabilization (OIS) yang mana membantu untuk meningkatkan ketajaman imej dan juga video.

Kualiti gambar yang dipersembahkan oleh peranti ini memberi keupayaan yang cukup terang untuk penggambaran mesra cahaya. Warnanya sering kelihatan menyerlah, yang mana lebih memihak ke arah berwarna kuning. Keperincian imejnya juga dilihat tajam apabila menerima pencahayaan yang mencukupi. Apa yang saya cukup suka adalah kawalan dynamic range kamera peranti ini yang mampu memberi keseimbangan cahaya dengan sekata.

Kamera peranti ini juga menawarkan keupayaan penggambaran malam yang menyerlah melalui bukaan aperture f/1.9. Ia membolehkan lebih banyak cahaya diserap sekaligus memberikan gambar yang lebih terang untuk penggambaran malam. Hasilnya dilihat cukup jitu, dengan pengurangan noise pada bahagian gelap tanpa perlu memberi masalah gambar dalam keadaan soft. Kawalan cahayanya juga cukup dipuji, yang mana mampu menerangi keadaan sekeliling dengan pencahayaan yang cukup menyerlah.

Aplikasi kamera pada C9 Pro dilihat memberikan antaramuka kamera yang kemas dengan perletakkan ikon dan teks yang cukup minimal. Ia hadir dengan beberapa fungsi standard seperti panorama, continuous shot, HDR, dan Night yang mana boleh dipadankan pada keperluan fotografi anda. Ia juga menawarkan fungsi Food, yang mampu meningkatkan pencahayaan dan warna untuk penggambaran melibatkan makanan. Sekiranya anda ingin menambah fungsi pada aplikasi kamera ini, ia juga hadir dengan marketplace tersendiri untuk kebolehan muat-turun mod kamera tambahan.

Cuma satu perkara yang sedikit mengecewakan saya adalah keupayaan manualnya yang tidak begitu menyeluruh. Ia hanya memberikan pengguna untuk mengawal exposure, ISO (100-800), White Balance, dan metering tanpa sebarang kawalan untuk shutter speed. Sebagai peranti dengan nama “Pro”, kebolehan fotografi manual seperti ini amat mendukacitakan. Peranti Honor 5C yang ditawarkan pada harga RM799 jauh lebih baik dari segi kawalan manualnya, dengan memberi pilihan ISO (100-1600) dan kawalan shutter speed dari 1/4000 hingga 8 saat.

Untuk penggambaran selfie, C9 Pro turut menawarkan kamera hadapan 16MP f/1.9, seperti yang telah ditawarkan pada A9 Pro. Untuk kualitinya, warnanya kadangkala agak sedikit pudar, tidak begitu menyerlah apabila dibandingkan dengan kualiti selfie daripada Galaxy A7 (2017). Pada lokasi indoor, ia juga memberikan penampakan noise yang sedikit ketara pada bahagian gelap. Hasilnya saya boleh kata sederhana, tidak sebaik peranti yang memfokuskan selfie di pasaran dengan harga yang lebih rendah daripada peranti ini.

Untuk kebolehan rakaman video, C9 Pro hanya mampu merakam video pada resolusi 1080p@ walaupun peranti ini ditawarkan mencecah lebih RM2000. Cip pemprosesan Snapdragon 653 sebenarnya mampu merakam pada resolusi 4K, tetapi telah dihadkan oleh pengeluar sendiri, seperti yang dialami pada Xiaomi Redmi Note 3. Tetapi apabila bercakap mengenai mutu rakaman video, hasilnya baik untuk rakaman harian, terutama dari segi pemfokusan, ketajaman, dan warnanya.

Bateri

Sebagai peranti dengan menawarkan skrin bersaiz besar, Galaxy C9 Pro telah dibekalkan dengan kapasiti bateri 4000 mAh, menyerupai apa yang ditawarkan pada Xiaomi Redmi Note 4. Kapasiti seperti ini telah memberikan masa penggunaan pada peranti Xiaomi ini, namun dengan skrin 6-inci, Galaxy C9 Pro mungkin terkesan dengan masa penggunaan yang sedikit rendah. Ia juga dipadankan dengan cip pemprosesan berasaskan 28nm, berbanding 14nm (Snapdragon 625) yang lebih efisien, seperti yang telah hadir pada Xiaomi Redmi Note 4.

Hasil penggunaan selama sehari, Galaxy C9 Pro mampu memberikan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 24 minit dengan masa bertahan selama 24 jam. Ia suatu bacaan yang cukup baik kerana mampu memberikan masa SoT melebihi 4 jam untuk tempoh penggunaan sepanjang hari. Tetapi bacaan ini sedikit tewas kepada Redmi Note 4 yang mana sering memberikan bacaan SoT sekitar 7-8 jam. Selain perbezaan rekaan cip pemprosesan (28nm vs 14nm), bacaan ini mungkin terkesan dengan skrin C9 Pro yang lebih besar (6-inci) berbanding 5.5-inci pada Redmi Note 4.

Galaxy C9 Pro turut dibekalkan dengan fungsi pengecasan pantas, melalui teknologi Adaptive Fast Charging. Dengan teknik pengecasan 5V-2A/9V-1.67A, ia mampu mencapai 58% dalam masa 45 minit yang mana masih pantas seperti kebanyakan teknologi pengecasan pantas. Untuk masa pengecasan penuh pula, Galaxy C9 Pro memerlukan masa 1 jam 36 minit untuk mengecas bateri dari 0-100%.

Rumusan

Galaxy C9 Pro cukup memenuhi keperluan anda bagi yang mahukan sebuah peranti dengan skrin bersaiz besar, bersama dengan prestasi peranti yang pantas untuk harian. Padanan cip Snapdragon 653 bersama memori 6GB RAM mampu memberi kelancaran prestasi yang cemerlang selain memberi prestasi yang lancar untuk memainkan permainan dengan grafik intensif. Ia juga direka dengan keperluan multimedia yang cemerlang melalui penawaran skrin 6-inci Super AMOLED bersama-sama dengan keupayaan pembesar suara berasaskan stereo.

Namun penggunaan jenama “Pro” telah mengundang persepsi yang sedikit skeptikal atas ketidakmampuan peranti ini. Ia meliputi bahagian kameranya yang tidak menawarkan fungsi OIS, kawalan manual yang menyeluruh, dan ketiadaan sokongan 4K untuk rakaman video. Selain daripada fungsi kamera, ia juga tidak membawa sebarang sokongan kalis air yang mana tidak selari dengan apa yang ditawarkan oleh siri Galaxy A yang terkini. Untuk menambah lagi sudut kontra peranti ini, saya lebih mengharapkan rekaannya semenarik siri Galaxy A (2017) yang mana kini lebih menyerupai rekaan flagship daripada siri Galaxy S.

Pro
  • Kamera membawakan prestasi yang baik untuk penggambaran siang dan malam.
  • Menawarkan prestasi yang lancar untuk harian dan permainan.
  • Pengimbas cap jari memberi kadar tindak balas pantas.
  • Hadir dengan paparan yang terang melalui skrin Super AMOLED.
  • Memberikan ketahanan bateri yang lebih lama.
  • Antaramuka yang hadir dilihat kemas, ceria, dan menarik.
  • Menawarkan slot dwi-sim dan microSD secara berasingan.
Kontra
  • Rekabentuk tidak secantik peranti Samsung yang lain.
  • Fungsi kamera tidak menawarkan kawalan manual yang menyeluruh
  • Tiada sokongan OIS dan rakaman 4K.
  • Tiada sokongan splash/waterproof.

Untuk peranti pada harga sekitarnya, Oppo R9s Plus dilihat memberi keupayaan kamera yang lebih baik terutama bagi anda yang gemar menggunakan fungsi rakaman video. Dengan penambahan RM199, anda akan menerima keupayaan kamera 16MP f/1.7 berserta OIS, sokongan video 4K, dan teknologi pengecasan yang lebih pantas melalui VOOC Fast Charging. Selain daripada peranti Oppo, peranti OnePlus 3T juga pilihan yang ideal untuk bajet pada harga di bawah harga RM2500, melalui cip pemprosesan Snapdragon 821 yang lebih pantas bersama penggunaan memori 6GB RAM.

Secara keseluruhannya, Galaxy C9 Pro masih dilihat sebagai penawaran peranti yang baik melalui skrin, bateri, dan prestasinya. Ia lebih ideal untuk kegunaan multimedia dengan paparan yang amat terang, untuk memainkan kandungan seperti video mahupun memainkan permainan kegemaran anda. Baterinya juga memberi masa bertahan yang standard, yang mana mampu untuk menggalas penggunaan mudah-alih anda sepanjang hari. Dengan harga RM2299, ia sebuah pakej gergasi multimedia yang meliputi skrin 6-inci bersama-sama dengan kepantasan peranti seumpama peranti flagship.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd