McLaren Dan Logitech G Mengumumkan Pertandingan World’s Fastest Gamer

McLaren Dan Logitech G Mengumumkan Pertandingan World’s Fastest Gamer

Diterbitkan pada Mei 9, 2017 oleh .

Pasukan perlumbaan Formula One McLaren baru-baru ini telah mengumumkan sebuah kerjasama dengan syarikat pembuat aksesori permainan komputer Logitech G dan pengasas pengasas GT Academy, Darren Cox untuk memperkenalkan pertandingan World’s Fastest Gamer.

Melalui pertandingan ini, 10 pakar permainan video lumba kereta di seluruh dunia akan bertarung diantara satu-sama lain di dalam pelbagai jenis permainan komputer dan simulasi lumba kereta, dan pemenang nombor satu pertandingan tersebut akan diberi peluang untuk bekerja dengan McLaren sebagai seorang pemandu simulasi selama setahun.

Enam daripada pemain-pemain ini akan dipilih sendiri oleh pihak McLaren, manakala empat lagi tempat akan diisi oleh pemain-pemain yang memenangi pusingan kelayakan yang akan diadakan pada musim panas nanti.

Pusingan akhir pertandingan ini akan diadakan di McLaren Technology Centre, dan sepuluh peserta-peserta ini bukan sahaja akan bertarung dengan masing-masing, mereka juga akan ditemu-duga untuk pekerjaan sebagai pemandu simulasi tersebut, dan akan diuji bukan sahaja dari segi kebolehan memandu, tetapi aspek pengetahuan teknikal, kerjasama dengan pasukan dan sebagainya.

Buat masa ini, butiran seperti tarikh dan jenis permainan komputer dan simulasi yang akan digunakan untuk pertandingan ini masih lagi belum diputuskan, tetapi kami pasti tajuk-tajuk lumba popular seperti Gran Turismo, Forza dan F1 akan hadir.


TIPS & ULASAN