Carian
Qualcomm Mengumumkan Cip Pemprosesan Snapdragon 660 Dan 630
May 9, 2017 Nazrin

Seperti yang diura-urakan minggu lepas, Qualcomm baru sahaja mengumumkan kehadiran siri cip pemprosesan kelas pertengahan atas mereka, iaitu Qualcomm Snapdragon 660 dan Snapdragon 630 yang merupakan penaik-tarafan daripada cip sebelum ini, iaitu Qualcomm Snapdragon 653 dan juga Snapdragon 626.

 

Kedua-dua SoC ini direka menggunakan proses FinFET 14nm, dan hadir dengan pelbagai jenis sokongan teknologi terbaru, termasuklah pengecasan Quick Charge 4, yang mampu memberi anda jangka-hayat bateri selama 5 jam hanya dengan pengecasan selama 5 minit.

Kedua-dua SoC dari Qualcomm ini juga hadir dengan sokongan teknologi ISP (Image Signal Processing) Qualcomm Spectra, yang boleh membantu pengguna peranti pintar mengambil gambar dengan lebih cantik dan bijak. Ia hadir dengan ciri-ciri seperti EIS 3.0, autofocus yang laju, dan juga output warna yang lebih berseri.

Dari segi sambungan rangkaian pula, kedua-dua SoC ini juga hadir dengan modem Qualcomm terbaru, Qualcomm X12 yang secara teorinya mampu bergerak selaju 600Mbps. Ia juga hadir dengan ciri-ciri Bluetooth 5.0 dan juga sambungan WiFi 802.11ac dengan teknologi MU-MIMO.

Cip Snapdragon 660 menggunakan CPU 8-teras KRYO 260 yang mempunyai kelajuan sehingga 2.2GHz, dan mampu menyokong peranti dengan resolusi setinggi Quad HD 2560×1600. Ia juga hadir dengan cip pemprosesan grafik Adreno 512 dan juga boleh menyokong memori LPDDR4 sebanyak 8GB dengan kelajuan 1866MHz.

Dari segi kamera, SoC Snapdragon 660 ini hadir dengan sokongan untuk konsep dwi-kamera, dan resolusi maksima untuk kamera dengan satu lensa adalah 24MP, manakala resolusi untuk sistem dwi-kamera ialah 16MP.

SoC Snapdragon 630 pula hadir dengan cip pemproses 8-teras ARM Cortex A53 yang mempunyai kelajuan maksima 2.2GHz. Ia mampu menggerakkan peranti dengan resolusi 1920×1200 pixel, dan hadir dengan cip pemproses mudah-alih Adreno 508, dan menyokong memori LPDDR4 sebanyak 8GB dengan kelajuan 1333MHz.

Dari segi kamera pula, SoC Snapdragon 630 hadir dengan sokongan untuk kamera satu lensa dengan resolusi 24MP dan kamera dwi-lensa dengan resolusi 13MP. Menariknya, kedua-dua SoC Snapdragon 660 dan 630 ini juga hadir dengan kemampuan merakam video 4K dengan kadar segar semula 30FPS.

Menurut pihak Qualcomm, SoC Snapdragon 660 ini sudahpun hadir di pasaran, manakala Snapdragon 630 pula akan hadir pada hujung bulan ini. Dari segi peranti pula, telefon menggunakan Snapdragon 660 akan mula hadir pada suku kedua tahun ini, manakala peranti yang menggunakan Snapdragon 630 akan hadir pada suku hadapan.

Komen