Apple Ingin Menganalisa Data Tidur Anda – Mengambil-Alih Beddit

Apple Ingin Menganalisa Data Tidur Anda – Mengambil-Alih Beddit

Diterbitkan pada Mei 10, 2017.

Apple sedia menganalisa dan memantau langkah perjalanan dan juga tahap kecergasan anda, dan kini syarikat gergasi tersebut turut ingin menganalisa bagaimana anda tidur.

Apple kini telah mengambil-alih Beddit, iaitu salah satu pembuat perkakasan dan perisian untuk menganalisa tidur. Harga pengambil-alihan Beddit ini tidak diumumkan oleh kedua-dua pihak.

Buat masa ini, Beddit menjual sensor yang dipasang pada cadar tidur, dan seterusnya menghantar informasi dan data berkaitan terus ke iPhone, iPad atau Apple Watch untuk penganalisa. Melaluinya, Beddit boleh memberitahu pengguna bagaimana mereka tidur, berapa lama, dan corak mereka tidur.

Dengan pengambil-alihan ini, Apple terus memngukuhkan kedudukan mereka dalam arena pemantauan kesihatan. Apple sendiri sedia membangunkan sokongan pemantauan tidur pada Apple Watch sebelum ini. Dengan pengambil-alihan Beddit, ia akan membantu lagi proses berkenaan, selain bersaing dengan lebih baik dengan Fitbit.

Selain daripada ini, Apple dijangka mengintegrasikan lebih banyak pemantauan aktiviti dalam usaha mengukuhkan perisian Healthkit mereka. Sebelum ini, Beddit dikatakan sedang membangunkan perisian Android, tetapi ia tidak diketahui sama ada ia akan dibangunkan atau tidak selepas pengambil-alihan ini.


TIPS & ULASAN