Pada minggu lepas, Microsoft telah pun memperkenalkan Windows 10 S – yang mana memerlukan pengguna memasang perisian dan aplikasi hanya melalui Windows Store sahaja. Pihak Microsoft sendiri sedia mengatakan yang mana pengguna perlu menggunakan pelayar web Microsoft Edge sebagai pelayar web utama, tetapi boleh memasang pelayar web yang lain pada Windows 10 S – janji ia melalui Windows Store.
Terkini, beberapa info lanjut mengenai penawaran pelayar web pihak ketiga melalui Windows Store turut diketahui – yang mana mungkin membuatkan pembangun seperti Google dan Mozilla tidak menawarkan pelayar web mereka di Windows Store.
Menurut Microsoft, pembangun pelayar web perlu menggunakan enjin yang dibangunkan oleh Microsoft untuk pelayaran. Perkara ini ditekankan untuk tujuan sekuriti dan mengelak sebarang kebocoran dan serangan pihak ketiga.
Perkara seperti ini bukan sesuatu yang baru. Pada iOS, pihak Apple turut melakukan perkara sama, dan Google sekadar menawarkan Chrome dengan enjin WebKit milik Apple – selain menambah beberapa ciri-ciri tambahan, dan mengubah antaramukanya menyerupai Chrome.
Walaubagaimanapun, Google melakukan ia untuk iOS kerana angka penggunanya yang tinggi. Untuk platform Windows sendiri, sehingga kini Google sekadar menawarkan sebuah aplikasi Google sahaja yang diterbitkan di Windows Store – dan ia sendiri seperti tidak diberikan penekanan yang serius oleh Google.
Jadi, sehingga Windows 10 S benar-benar popular atau mempunyai angka pengguna yang tinggi, kita mungkin tidak akan melihat Google membangunkan pelayar web Chrome khusus untuk diterbitkan dan ditawarkan melalui Windows Store.