NVIDIA Tesla V100 – Kad Grafik Pertama NVIDIA Menggunakan Cipset Volta

NVIDIA Tesla V100 – Kad Grafik Pertama NVIDIA Menggunakan Cipset Volta

Diterbitkan pada Mei 11, 2017 oleh .

Tidak lama selepas kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti dan NVIDIA GeForce Titan Xp berdasarkan cipset Pascal dilancarkan, nampaknya NVIDIA bakal hadir dengan kad grafik terbaru mereka, NVIDIA Tesla V100, berdasarkan cipset terbaru mereka, yang diberi nama kod Volta.

Selain dari cipset terbaru, kad grafik Tesla V100 ini hadir dengan 5120 teras CUDA yang mampu menjana data sebanyak 15 TFLOPs, dan menggunakan memori HBM 2.0 sebanyak 16GB, dan juga menggunakan teknologi NVLink 2.0 yang bukan sahaja akan menambahbaik sambungan diantara CPU dan GPU, malah membolehkan kad-kad grafik yang disambung menggunakan SLI berfungsi dengan lebih laju.

Cip pemprosesan grafik Volta yang digunakan oleh kad Tesla V100 ini hadir dengan beberapa kemajuan yang sangat menarik. Pertama, ia merupakan cip pertama oleh NVIDIA yang dicipta menggunakan proses FinFET 12nm, dan kedua, ia dipadatkan dengan 21 bilion buah transistor, sebuah penambahan daripada 15.2 bilion yang digunakan didalam kad P10 sebelum ini.

Buat masa ini, butiran seperti kelajuan cip pemprosesan dan jumlah kuasa yang digunakan masih belum diketahui, dan jika anda berangan-angan mahu membeli sebuah kad ini untuk kegunaan permainan komputer, NVIDIA hanya akan menjual kad ini untuk kegunaan industri seperti super computer dan render farm. Tanda harga dan tarikh pelancaran kad ini juga masih belum diumumkan lagi.


TIPS & ULASAN