Microsoft sejak beberapa tahun kebelakangan ini menekankan penerbitan aplikasi pada Windows Store dalam usaha memudahkan kemaskini ditawarkan, selain memfokuskan kepada sokongan sekuriti yang ditawarkan untuk pemasangan aplikasi melalui Windows Store.
Malah, melalui Windows 10 S, fokus terhadap Windows Store ini lebih ditekankan – apatah lagi dengan kebolehan menerbitkan perisian desktop penuh terus pada Windows Store, dan bukan terhad kepada aplikasi Modern UI semata-mata.
Hari ini, berkongsi lanjut mengenai beberapa perisian dan aplikasi yang akan diterbitkan di Windows Store, Microsoft mengumumkan yang mana iTunes akan hadir ke Windows Store tidak lama lagi.
Melalui iTunes di Windows Store, ia sekaligus akan memudahkan pengurusan media, akses kepada Apple Music, selain membolehkan pengguna Windows 10 S dan Windows 10 menghubungkan iPhone mereka kepada komputer Windows 10 dengan mudah.