Dalam pelbagai format audio, salah satu yang sangat popular adalah MP3. Ia menjadi format utama beberapa pemain media sebelum ini, selain turut digunakan ramai untuk menawarkan fail berbentuk audio atau muzik untuk dimuat-turun.
Walaubagaimanapun, era MP3 nampaknya kini telah tamat. Menurut syarikat yang membangunkan format audio berkenaan, mereka telah menamatkan program perlesenan paten MP3, sekaligus membuatkan format berkenaan tidak disokong lagi.
Untuk pengguna, walaupun sokongan ini ditamatkan dari segi perlesenan, tetapi tidak bermakna fail-fail berkenaan tidak boleh dimainkan. Sebaliknya, kita akan melihat pemain media baru mungkin tidak hadir menyertakan sokongan format berkenaan, malah fail-fail baru hadir dengan format baru yang lebih moden.
Perubahan ini dilihat selari dengan era moden masa kini yang melihat penggunaan format audio seperti AAC (Advanced Audio Coding) yang semakin popular dikalangan pengguna, mahupun perkhidmatan penstriman muzik. Format baru ini membolehkan audio berkualiti lebih tinggi ditawarkan pada kadar bitrate yang lebih rendah berbanding dengan MP3.