Cari @ Amanz

Semenjak kehadiran ransomware WannaCrypt mula dikenal-pasti baru beberapa hari yang lepas, ia telahpun menyebabkan pelbagai masalah di serata dunia. Perkhidmatan kesihatan seperti National Health Service di UK, kilang pembuat kereta Renault di Perancis dan sebagainya tergendala.

Serangan WannaCrypt ini dapat dihentikan buat masa ini kerana seorang penyelidik keselamatan digital yang menamakan dirinya MalwareTech membeli domain laman web yang terkandung didalam ransomware tersebut, dan Microsoft baru sahaja mengeluarkan kemaskini keselamatan yang memperbaiki kelemahan yang hadir pada sistem operasi seperti Windows XP, Windows 8 dan Windows Server 2003 yang sudahpun tamat tempoh sokongan mereka.

Menurut pengarah Europol, Rob Wainwright, walaupun serangan tersebut dapat ditangkas dengan pantas, laporan dari pihaknya menyatakan bahawa ransomware WannaCrypt ini sudahpun menyerang 200,000 komputer di 150 buah negara, dan apa yang merisaukan ialah ada kemungkinan besar bahawa ia tidak akan berhenti di situ sahaja.

Menurut laporan Europol dan penyelidikan MalwareTech, WannaCrypt ini akan hadir dengan versi baru yang lebih merbahaya kerana ia tidak lagi mempunyai killswitch laman web yang digunakan sebelum ini. Menurut mereka, satu-satunya cara untuk menghalang serangan ini ialah dengan memuat-turun kemasan keselamatan oleh Microsoft sebelum anda diserang oleh perisian WannaCrypt ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd