Cari @ Amanz

Era perkomputeran kini tidak lagi bergantung pada PC sepenuhnya, dengan adanya peranti mudah-alih seperti telefon pintar dan tablet yang dilihat lebih memenuhi keperluan mobiliti pengguna. Secara umumnya, pengguna kini lebih banyak menggunakan peranti mudah-alih secara seharian¹, dengan penawaran peranti yang mudah dibawa dan mempunyai ketahanan bateri sepanjang hari.

Lenovo pada hari ini masih mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar terbesar untuk PC², dengan angka sebanyak 55.5 juta PC telah dihasilkan pada tahun 2016. Namun statistik ini mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 3% berbanding tahun sebelumnya, dengan angka sebanyak 57 juta unit PC telah dijual pada tahun 2015. Lenovo kini mempunyai pegangan market share sebanyak 21.3% untuk pasaran PC, diikuti rapat oleh HP dengan pegangan sebanyak 21%.

Kami berkesempatan untuk bersama Lenovo Malaysia dalam satu sesi perjumpaan yang diadakan secara tertutup di pejabat mereka. Dalam sesi tersebut, Presiden Lenovo Asia Pasifik, Ken Wong, telah berkongsi mengenai hala tuju PC dan beberapa perkara mengenai penawaran produk mereka untuk dipasarkan pada masa akan datang.

Perjumpaan dimulakan dengan perkongsian umum daripada Lenovo mengenai penawaran produk sedia ada di Malaysia. Mereka sebelum ini telah menawarkan siri produk Lenovo Legion di Malaysia iaitu siri komputer dengan fokus terhadap permainan yang ditawarkan pada harga berpatutan. Untuk produk mudah-alih, Lenovo telah hadir dengan Moto M dan Moto Z, melalui rekaan peranti menarik serta penawaran antaramuka seumpama stock pada siri peranti ini.

Pada saat ini, PC masih diperlukan oleh kebanyakan pengguna, terutama bagi golongan pelajar dan golongan yang mempunyai kerjaya. Ia berikutan dari segi penggunaan perisian spesifik untuk PC, yang mana sukar digalas dalam bentuk mudah-alih seperti telefon dan tablet. Perisian industri daripada Adobe dan Autodesk misalnya memerlukan kuasa pengkomputeran yang besar, seperti penggunaan RAM dan pemproses grafik yang tinggi.

Untuk memberi rangsangan kepada jualan PC, kehadiran form factor seperti peranti 2-dalam-1 dan convertible, dilihat mampu menarik minat pengguna melalui rekaan yang unik, disamping menawarkan rekabentuk yang ringan dan nipis. Peranti seperti ini adakalanya juga mampu menawarkan cip pemprosesan, RAM, dan penggunaan grafik tinggi, seperti yang dilihat pada peranti Thinkpad X1 Yoga.

Bagi Lenovo, mereka akui jualan PC untuk peranti berasaskan desktop semakin merundum untuk pasaran pengguna, akibat rupa fizikal yang sukar untuk dialihkan. Peranti seperti All-in-One (AIO) IdeaCentre dilihat lebih praktikal untuk pengguna masa kini, melalui rekaan yang disatukan dalam bentuk paparan monitor. Namun untuk penggiat permainan desktop, AIO tidak menjanjikan sokongan penaik-tarafan fizikal sebaik desktop tower, jadi ia akan terus ditawarkan untuk pasaran pengguna melalui IdeaCentre Y series.

Untuk terus mengukuhkan kedudukan pada era mudah-alih ini, Lenovo berkata pihaknya akan terus menawarkan peranti dengan rekaan yang mudah dibawa dan unik seperti apa yang ditawarkan pada siri Lenovo Yoga. Siri ini menawarkan peranti dengan rekaan 360-darjah, membolehkan pengguna mendapatkan mod komputer riba dan tablet tanpa perlu bergantung pada penggunaan dua peranti berbeza. Selain rekaan unik, mereka juga akan memfokuskan penawaran peranti yang berpatutan, seperti yang dilakukan pada siri komputer riba Lenovo E dan Lenovo G series.

Di akhir hari, peranti mudah-alih akan terus menguasai pasaran, dengan kemajuan penggunaan internet yang menggalakan pergerakkan dan mobiliti. Peranti yang ringan, mempunyai penawaran bateri sepanjang hari, dan memberi penawaran yang pelbagai dalam satu peranti amat dititikberatkan pengguna, bagi memudahkan mereka melakukan tugasan – tidak kira untuk kegunaan ketika berkerja atau kegunaan peribadi. Pengeluar pastinya akan lebih berinovasi dalam menawarkan produk perkomputeran yang unik, praktikal, dan menarik untuk memenuhi permintaan pengguna masa kini.


1. http://www.smartinsights.com/mobile-marketing/mobile-marketing-analytics/mobile-marketing-statistics/
2. http://fortune.com/2017/01/11/lenovo-hp-dell-pc-market/

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd