Carian
Google Inginkan Android Dan Google Assistant Turut Menjana Kereta Anda
May 16, 2017 Bloomberg

Android sedia menguasakan majoriti besar telefon pintar pada hari ini. Kini, Google turut ingin membawa sistem operasi berkenaan ke dalam kenderaan, sekaligus mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan mereka dalam industri automotif.

Hari ini, Google telah mengumumkan yang mana mereka akan mempertontonkan integrasi Android untuk sistem inforia kenderaan, dan juga dashboard pada acara Google I/O minggu ini. Integrasi ini akan membolehkan pengguna mengakses aplikasi seperti Google Maps dan Spotify, selain pada masa yang sama mengawal beberapa ciri-ciri kenderaan seperti suhu, kedudukan kerusi dan sebagainya. Sistem baru ini juga bakal mengintegrasikan Google Assistant — perkhidmatan kawalan berasaskan suara daripada Google, untuk membuat carian, bertanyakan arah perjalanan, dan membuat panggilan — dalam kereta buat pertama kalinya.

Pada Google I/O, syarikat gergasi internet ini akan mempertontonkan Android dijalankan pada kenderaan Audi Q8 dan juga Volvo V90.

Untuk makluman, ini bukan pertama kali Google menawarkan perisian untuk kenderaan. Pada 2014, Google telah memperkenalkan Android Auto, iaitu sebuah sistem yang membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar Android ke skrin pada kenderaan mereka. Android Auto kini menjana lebih 300 model kenderaan seluruh dunia.

Android Auto

Sistem baru ini pula diintegrasikan dengan lebih mendalam, termasuk secara lebih menyeluruh dengan sistem kereta. Seseorang pemandu tidak perlu menghubungkan telefon pintar mereka untuk menggunakannya. Disamping itu, ia juga menawarkan ciri-ciri kawalan dalam kereta yang tidak ditawarkan oleh Android Auto.

Buat masa ini, Google masih tidak berkongsi bilakah kenderaan pertama menggunakannya akan hadir di pasaran. Sistem Android untuk kenderaan ini sendiri dilihat belum selesai dibangunkan sepenuhnya dan perlu melalui beberapa fasa lagi.

Selain daripada itu, Google juga menawarkan kemudahan untuk para pengeluar kenderaan untuk mengoptimasikan dan mengubah antaramuka dan kawalan berdasarkan keperluan – lebih kurang seperti pada telefon pintar. Walaubagaimanapun, Google turut tidak akan mengintegrasikan sejumlah aplikasi seperti pada telefon untuk versi kereta ini.

Pengenalan baru ini juga memperlihatkan perancangan Google untuk mengintegrasikan Google Assistant pada semua tugasan dan perilaku manusia dalam seharian.

Selain daripada Google, beberapa syarikat lain turut sedang melihat kepada arena sama, termasuk BlackBerry melalui QNX.

Komen