Cari @ Amanz

Telefon selular apa awalnya dikawal dengan menggunakan papan bernombor fizikal sebelum berubah kepada kawalan skrin sesentuh sekarang. Setiap evolusi kawalan peranti membawakan fungsi baru bagi membolehkan peranti dikawal dengan lebih intuitif. Kesemua peranti pintar turut mempunyai fungsi kawalan suara tetap ia kadang kala kurang tepat.

Di HTC mereka merasakan kedua-dua cara kawalan peranti di atas boleh diperhalusi lagi dengan pengenalan fungsi kawalan Edge Sense yang diaktifkan dengan menggenggam peranti. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai HTC U11 yang baru sahaja dilancarkan dan fungsi Edge Sense yang dikatakan akan merevolusikan bagaimana peranti dikawal.

Spesifikasi

HTC U11
Skrin 5.5″ QHD Super LCD5 (534 PPI)
Pemproses Qualcomm Snapdragon 835
Cip Grafik Adreno 540
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB)
Kamera Utama 12 Megapixel ,Sensor Ultrapixel.OIS, f/1.7
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 3000 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan  ~RM 2999

Kita mulakan dengan spesifikasi. Di atas kertas HTC U11 mempunyai spesifikasi yang tinggi setanding dengan peranti-peranti utama keluaran Samsung, Huawei, Sony, LG dan Xiaomi tahun ini. Pelancarannya yang agak lewat membolehkah HTC menggunakan komponen yang paling berkuasa di pasaran.

Skrin 5.5″ Super LCD5 dengan resolusi QHD digunakan. Ini meletakkan skrin U11 diantara saiz skrin U Ultra (5.7″) dan HTC 10 (5.2″). Paparan adalah tajam dan terang pada peranti ini. Pihak HTC masih belum bersedia untuk berhijrah ke skrin OLED seperti kebanyakan pengeluar lain tahun ini. Sungguhpun mempunyai skrin QHD, U11 tidak tersenarai sebagai peranti yang boleh menggunakan platform Google Daydream buat masa ini.

Skrin dipadankan dengan pemproses Snapdragon 835, RAM 6 Gigabyte dan storan 128 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan U11 menyokong kad MikroSD sehingga 2 Terabyte. Kad MikroSD ini walaubagaimanapun berkongsi dengan slot nano SIM kedua.

Sedikit melawan arus, HTC U11 mengekalkan konfigurasi hanya satu kamera utama pada bahagian belakang sebesar 12-Megapixel. Kamera ini menggunakan sensor Ultrapixel. OIS ,lensa f/1.7 serta sistem pemfokusan pantas Ultra Speed Auto Focus. Seperkara lagi yang menarik ialah kamera utama ini merakam audio secara tiga dimensi. Ini bagi memberikan audio yang sehampir mungkin kepada dunia sebenar.

Sistem Acoustic Focus juga diperkenalkan. Dari nama ini anda mungkin boleh mengagak rakaman audio akan berubah mengikut tetapan zoom. Apabila pengguna menumpukan zoom pada sesuatu objek, U11 akan menumpukan rakaman audio dari objek dan meredam bunyi lain dari persekitaran. Sekaligus membolehkan rakaman audio yang lebih jelas.

Sebuah lagi fungsi menarik ialah HDR Boost. Dengan fungsi ini rakaman gambar di dalam mod HDR dapat dilakukan dengan lebih pantas tanpa perlu menanti ia diproses. Kepada pembaca yang kerap menggunakan mod HDR, anda pasti sudah lali dengan penantian beberapa saat untuk gambar HDR diproses sebelum pengatup kamera boleh ditekan semula. Sistem baru ini akan menyelesaikan masalah ini.

Bergerak ke bahagian hadapan, kamera selfie sebesar 16-Megapixel f/2.0 digunakan. Malang sekali ia tidak mempunyai sistem OIS seperti yang ditemui pada HTC 10 tahun lalu. Di dalam dunia di mana penggunaan kamera hadapan semakin meningkat kerana penstriman secara langsung, fungsi OIS pada HTC 10 menerima banyak pujian. Ketiadaannya adalah sedikit dikesali kerana ia sebenarnya mampu memberikan kelebihan kepada U11 berbanding pesaing-pesaing lain.

Dari segi bateri ia hanya dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Bateri ini kami rasakan terlalu kecil untuk sebuah peranti dengan skrin 5.5″ serta pemproses yang amat berkuasa. Berita baik di sini ialah ia menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Menurut wakil HTC, QuickCharge 4.0 tidak digunakan kerana QuickCharge 3.0 sudah cukup pantas untuk bateri yang digunakan. Seperti Samsung, HTC tidak mengaktifkan sistem pengecasan terpantas QC 4.0 walaupun menggunakan pemproses Snapdragon 835 yang menyokongnya. Pengecasan dilakukan menggunakan port USB-C.

Ya seperti HTC U Ultra, U11 tidak mempunyai bicu audio. Tetapi HTC mempelajari dari kesilapan U Ultra dan menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm di dalam kotak. Bicu audio ini unik kerana mempunyai DAC terbina. Ini bagi mengekalkan kualiti audio apabila isyarat digital diubah kepada analog. Seperkara lagi, penyesuai USB-C ini turut boleh digunakan pada kesemua peranti Android dengan USB-C bagi memberikan audio yang lebih bertenaga.

Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian dagu dan ia diapit dengan butang back pada bahagian kiri dan multitasking pada bahagian kanan. Tiada pilihan untuk menyusun semula kedudukan butang navigasi kapasitif pada U11.

Walaupun mempunyai port terbuka, HTC U11 masih memenuhi piawaian kalis air dan debu IP67.

Rekabentuk

Rekaan tidak banyak berubah dari yang ditemui pada U Ultra yang memasuki pasaran Malaysia Februari yang lalu. Panel hadapan menggunakan kaca Gorilla 5 dengan bucu dibulatkan bagi memberikan kesan 2.5D. Panel belakang  yang juga melengkung menggunakan kaca Gorilla 3.

Kemasan bahagian belakang U11 adalah amat menarik perhatian. Rekaan yang diberi nama Liquid Surface ini berubah-rubah warna mengikut pantulan cahaya. Lima pilihan warna diberikan dengan warna merah yang paling menyerlah.

Dua panel kaca ini menutupi bahagian sisi yang diperbuat daripada bahan aluminium. Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan peranti. Bagi membezakan dua butang ini, butang kuasa mempunyai tekstur yang lebih kasar. Bergerak ke sisi kiri pula terdapat slot untuk talam dwi-SIM dan kad MikroSD. Talam ini perlu dicucuk untuk dikeluarkan.

Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan USB-C dan satu pembesar audio. Sistem audio stereo disokong seperti pada U Ultra dan HTC 10. Perbezaan kali ini ialah sistem audio BoomSound Hi-Fi Edition yang memberikan audio lebih nyaring berbanding model terdahulu. Walaupun hanya satu pembesar suara terletak pada bahagian hadapan, BoomSound Hi-Fi Edition memastikan bunyi stereo yang dihasilkan adalah seimbang.

Pihak HTC telah mereka semula kebuk audio pada pembesar suara di bahagian bawah bagi membolehkannya melontar audio ke hadapan. Menurut HTC, dengan BoomSound Hi-Fi Edition keseluruhan tubuh U11 kini bertindak sebagai sebuah pembesar suara. Dari percubaan kami selama sekitar sejam, harus diakui kualiti audio U11 adalah amat lantang dan lebih baik dari HTC 10 tahun lalu.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar HTC Sense. Tiada perubahan drastik dilakukan pada antaramuka peranti ini jika dibandingkan dengan HTC 10 dan U Ultra sebelum ini. Reka letak elemen antaramuka masih lagi mempunyai perisa HTC dengan integrasi aplikasi keluaran Google seperti Photos dan Calendar.

Tidak mengejutkan kerana kombinasi perisian yang telah dioptimasi serta spesifikasi yang baik, peranti ini berfungsi dengan cukup lancar. Tiada masalah sela masa kami sedari dan melancarkan aplikasi juga pantas. DI Malaysia model dengan RAM sebesar 6 Gigabyte akan dipasarkan. Saiz RAM yang besar ini akan memastikan masalah kekurangan RAM tidak akan berlaku. Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan pada HTC U11 menerusi pelancar HTC Sense.

HTC Sense Companion – Sistem pintar yang dengan bijak mempelajari bagaimana pemilik menggunakan peranti. Ia boleh mengingatkan pengguna supaya mengecas peranti, memulakan perjalanan dan mengingatkan mereka tentang jumlah langkah yang telah diambil setiap hari.

Motion Launch – Dari skrin tertutup lima aksi dapat dilakukan

  1. Dwi-Tap – Menyahkunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali
  2. Tatalan ke atas – Menyahkunci peranti walaupun skrin tertutup.
  3. Tatalan ke bawah dua kali dengan pantas – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas
  4. Tatalan ke kanan – Melancarkan skrin BlinkFeed
  5. Tatalan ke kiri – Menyahkunci terus ke skrin home

BlinkFeed – Senarai lengkap berita dan status media sosial terkini dari satu hab khas.

Themes – Terdapat pelbagai pilihan tema dan setiap tema mempunyai dua rekaan berbeza iaitu Classic Layout dan Freestyle Layout.

  1. Classic Layout – Ikon dan elemen antaramuka disusun rapi menggunakan sistem grid. Ikon aplikasi menggunakan ikon biasa yang anda lihat pada peranti Android lain.
  2. Freestyle Layout – Rekaan lebih bebas dan abstrak. Ikon aplikasi digantikan dengan pelekat pelbagai bentuk yang boleh diletakkan sesuka hati. Tiada sistem grid. Antaramuka kelihatan seperti gambar.

 

Edge Sense

Mari tumpukan perhatian kita kepada Edge Sense kerana ia ialah fungsi paling unik pada U11. Dengan Edge Sense keseluruhan sisi kanan dan kiri pada bahagian bawah peranti mampu mengesan tekanan. Sebagai analogi ia bolehlah dikatakan seperti Force Touch tetapi pada bingkai peranti.

Sebelum ia diaktifkan pengguna boleh melakukan tetapan terlebih dahulu bagi memudahkan fungsi ini diaktifkan. Terdapat meter penunjuk yang memperlihatkan tahap kekuatan genggaman pengguna. Selepas ditetapkan terdapat skrin yang membolehkan pengguna melatih menggunakan sistem ini. Secara peribadi kami dengan mudah menggunakan Edge Sense selepas hanya beberapa minit. Terdapat dua jenis genggaman boleh diprogramkan iaitu genggaman pendek dan panjang.

Berikut ialah beberapa fungsi menarik yang boleh diprogramkan pada Edge Sense.

Pelancaran Aplikasi Pantas – Memprogramkan aplikasi tertentu yang ingin dilancarkan.

Kamera – Melancarkan kamera dari skrin terkunci dengan menggenggam bingkai U11. Selepas kamera dilancarkan, gambar boleh diambil dengan sekali lagi menggenggam bingkai peranti. Mengambil gambar selfie kini lebih pantas.

Melancarkan Lampu Suluh – Genggam bingkai dengan lebih lama dan lampu suluh boleh diaktifkan dengan pantas.

Melancarkan Google Assistant – Google Assistant boleh dilancarkan dengan menekan butang home atau kawalan suara “Ok Google”. Tetapi dengan Edge Sense ia boleh diprogramkan untuk dibuka dengan menggenggam. Amat berguna apabila skrin basah ataupun pengguna sedang memakai sarung tangan

Kesimpulan

HTC U11 memperkenalkan fungsi unik untuk membezakan peranti ini dari peranti-peranti lain di pasaran. Spesifikasinya yang amat baik dipadankan dengan perisian yang menghampiri Android Stock. Dari segi rekaan ialah sebuah peranti yang amat cantik dipandang dan cukup selesa untuk dipegang.

Kerisauan kami hanyalah permukaan kaca peranti ini memerangkap cap jari dengan terlalu mudah. Pada waktu yang sama penggunaan kerangka adalah perlu sekiranya tidak mahu ia mudah pecah sekiranya terjatuh. Berita baik bagi mereka yang berminat dengan HTC U11 ialah pihak HTC menyertakan sebuah kerangka lembut lutcahaya dengan setiap pembelian. Dengan kerangka ini panel kaca akan terlindung dari hentakan tetapi masih menyerlahkan kecantikan rekaannya untuk dilihat.

Fungsi Edge Sense adalah menarik kerana ia inovasi baru. Buat masa ini sokongan aplikasi pihak ketiga masih lagi belum dibuka tetapi aplikasi Extended Touch akan dilancarkan pada bulan Julai. Dengan Extended Touch pengguna bebas memprogramkan fungsi dalaman sesebuah aplikasi kepada Edge Sense.

Kerisauan paling ketara bagi kami ialah bateri hanya sebesar 3000 mAh. Ini adalah kecil bagi peranti dengan skrin sebesar 5.5″ dan pemproses yang berkuasa. Sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 disokong bagi mengurangkan keresahan perlu menanti lama untuk dicas semula.

HTC U11 dijangka memasuki pasaran Malaysia pada minggu kedua bulan Jun hadapan dengan harga dianggarkan sekitar RM 2999. Ini ialah harga yang amat kompetitif bagi sebuah peranti utama untuk tahun 2017. Bagi mereka yang mahukan peranti dengan rekaan panel belakang menarik dan kerangka boleh dipicit, HTC U11 ialah peranti yang menawarkan kedua-duanya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd