Cari @ Amanz

Apple merancang untuk mengumumkan kemaskini untuk penawaran keluarga komputer riba mereka pada acara tahunan memfokuskan pembangun yang dijadualkan pada awal Jun ini. Langkah ini dijangka akan mengurangkan kadar persaingan daripada Microsoft, selain kadar jualan iPad yang semakn berkurangan.

Menurut sumber terdekat, Apple dijangka memperkenalkan tiga komputer riba terbaru. MacBook Pro baru dijangka hadir dengan cip pemprosesan Kaby Lake yang lebih pantas, selain versi kemaskini untuk MacBOok 12-inci dengan cip Intel yang lebih pantas, selain kemaskini kepada MacBook Air 13-inci dengan cip pemprosesan baru.

Seperti biasa, Apple dan Intel tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan laporan baru ini.

Siri komputer Mac menjana sekitar 11% pendapatan untuk Apple setiap tahun, sementara iPhone pula menjana 2/3 daripada jumlah pendapatan tahunan syarikat berkenaan. Seperti ramai sedia maklum, mereka dalam arena industri kreatif lebih gemar menggunakan Mac, selain mana keluarga komputer riba ini turut mempunyai peminat setia tersendiri.

Pengenalan kemaskini MacBook ini juga hadir pada waktu yang tepat. Microsoft sendiri baru sahaja mengumumkan Surface Laptop yang boleh diboot dalam beberapa saat, menyertakan skrin sentuh, serta Windows 10 S. Microsoft sendiri ketika pengenalannya seperti memposisikan ia sebagai pesaing untuk MacBook Air. Dengan penawaran kemaskini Mac terbaru, ia akan mengurangkan kadar pengguna beralih ke penawaran Microsoft ini, selain meneruskan momentum keluarga komputer Mac.

Dari segi rekaan, MacBook Pro baru akan menyerupai rekaan sama untuk luaran, dan hanya perubahan dari segi komponen dalaman sahaja. Sebelum ini, ia pernah dilaporkan yang mana Apple sedang membangunkan cip khusus untuk pengurusan tenaga, tetapi ia berkemungkinan tidak akan hadir pada kemaskini MacBook generasi baru ini.

Walaupun tidak membawakan ciri baru dan perubahan besar, namun, pengumuman kemaskini ini dijangka akan mengekalkan momentum serta membolehkan mereka yang sudah sekian lama tidak menaik-taraf MacBook untuk memilih generasi baru ini.

Selain Mac baru, Apple juga dijangka akan mengumumkan macOS baru pada acara sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd