Cari @ Amanz

Google Photos merupakan aplikasi galeri dan pengurusan gambar daripada Google yang telah diperkenalkan sekitar dua tahun lepas. Salah satu ciri menarik yang hadir pada aplikasi ini yang tidak terdapat pada pelbagai aplikasi galeri lain adalah integrasi pembelajaran mesin dalam memilih gambar tercantik untuk album, memudahkan carian gambar, dan penawaran storan tanpa had melaluinya.

Hari ini, pada Google I/O, pihak Google turut berkongsi beberapa kemaskini berkaitan dengannya. Kini, sebanyak lebih 500 juta pengguna seluruh dunia yang menggunakan Google Photos setiap bulan, dan lebih 1.2 bilion gambar dimuat-naik setiap hari.

Bergerak ke hadapan, Google turut mengumumkan tiga ciri baru yang akan hadir pada aplikasi ini tidak lama lagi.

Suggested Sharing

Google Photos

Ciri pertama yang telah diumumkan oleh Google adalah Suggested Sharing. Melalui ciri ini, Google Photos akan mempelajari siapakah yang terkandung dalam sesuatu gambar, dan mencadangkan kepada anda supaya berkongsi gambar atau album berkaitan bersama mereka. Google mengatakan yang mana ia akan mengurangkan pengguna terlupa untuk berkongsi gambar bersama rakan lain, selain memudahkan setiap pengguna menyimpan gambar masing-masing untuk kenangan melalui Google Photos.

Google Photos

Google Photos

Shared Libraries

Shared Libraries pula adalah ciri yang membolehkan pengguna memilih untuk berkongsi gambar dari Google Photos kepada pengguna lain berdasarkan sesuatu tetapan. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk berkongsi keseluruhan rakaman Google Photos anda bersama ahli keluarga terdekat, atau memilih untuk berkongsi sesuatu gambar sekiranya seseorang dirakamkan.

Google Photos

Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk berkongsi gambar anak anda bersama isteri – dan melalui pembelajaran mesin, Google Photos hanya akan mengecam wajah anak anda dalam sesuatu gambar dan memilih untuk berkongsi bersama isteri anda, sementara gambar lain tidak dikongsikan. Semua ini dilakukan secara automatik, tanpa anda perlu membuat perkongsian setiap kali anda merakamkan gambar anak anda.

Photo Book

Dan akhir sekali, seperti dilaporkan sebelum ini, Google mengumumkan perkhidmatan buku gambar bercetak melalui Google Photos. Pengguna boleh memilih koleksi gambar yang ingin dicetak, dan melalui pembelajaran mesin, Google akan mencadangkan sejumlah gambar yang boleh dicetak dan menyusunnya dalam bentuk sebuah album gambar. Seperti biasa, pengguna boleh memilih untuk membuat perubahan dan menyusunnya kembali. Apa pun, ciri ini hanya terhad kepada pasaran Amerika Syarikat sahaja, dan Google mengenakan caj bermula $9.99 untuk cetakkan setiap buku album gambar.

Google Photos

Google Photos


Kesemua ciri baru ini bakal hadir kepada Google Photos secara berperingkat tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd