Facebook Akan Memerangi Perkongsian Dengan Tajuk Yang Mengumpan Klik

Facebook Akan Memerangi Perkongsian Dengan Tajuk Yang Mengumpan Klik

Diterbitkan pada Mei 18, 2017 oleh .

Terdapat beberapa laman web yang menggunakan tajuk-tajuk sensasi dan berbentuk menipu serta mengelirukan dalam menarik pengguna klik dan hadir ke laman mereka. Perkara ini semestinya tidak digemari ramai, dan hari ini Facebook mengumumkan mereka akan mula memeranginya.

Langkah ini telah mula dilakukan oleh Facebook sejak pada tahun lepas. Tetapi, melalui perubahan baru, ia dilakukan pada peringkat yang lebih mendalam lagi.

Menurut Facebook, kini mereka akan menyasarkan perkongsian clickbait atau mengumpan-klik ini secara individu – dan bukannya melalui penganalisaan menyeluruh oleh sesuatu Facebook Page. Selain daripada itu, kini ia turut meliputi lebih banyak bahasa, dan bukan hanya bahasa Inggeris semata-mata.

Facebook menjayakan perkara ini melalui beberapa kaedah, termasuk menganalisa perkataan dan frasa yang sering dikaitkan dengan mengumpan-klik.

Dengan langkah ini, perkongsian berbentuk mengumpan-klik ini dapat mengurangkan perkongsian yang kurang berfaedah atau berbentuk spam. Seperti biasa, pautan yang dilabelkan akan menerima paparan yang sangat rendah di News Feed – atau disembunyikan terus.

Langkah ini juga sangat penting untuk Facebook, bagi terus mengelakkan tersebar perkongsian yang kurang bermanfaat – sekaligus membuatkan pengguna membenci atau kurang mempercayai platform berkenaan.

TIPS & ULASAN