Cari @ Amanz

Teknologi televisyen berkembang dengan pesat beberapa tahun ini, termasuklah penggunaan teknologi paparan yang pelbagai, gimik ataupun ciri-ciri yang datang dan pergi seperti teknologi 3D, dan juga resolusi 4K yang kini semakin diminati oleh mereka yang penggemar seni filem.

Di acara Samsung Forum awal tahun ini, Samsung mengumumkan siri televisyen 4K terbaru mereka, iaitu siri Samsung QLED TV yang menggunakan teknologi paparan terbaru, dan juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang pasti membuat para pelawat ke rumah anda teruja.

Ia juga akan membuat dompet anda meraung kekosongan.

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Bermula dari saiz paparan, siri Samsung QLED TV ini hadir dengan pilihan paparan 55 inci, 65 inci, 75 inci dan juga 88 inci. Model televisyen yang berada di pasaran sekarang ini termasuklah yang bersaiz 55 inci sehinggalah 75 inci.  Menurut pihak Samsung, model 88 inci akan hadir di pasaran Malaysia dalam masa beberapa bulan lagi.

Dari segi rekaan, QLED TV ini menggunakan cangkerang besi brushed aluminum yang memberikannya rupa yang sangat premium. Paparan melengkung membolehkan TV ini dilihat dari pelbagai sudut di hadapan TV ini, dan selain itu, bezelnya yang nipis memaksimakan saiz paparan tersebut di dalam cangkerang yang lebih kecil.

Paparan Samsung QLED TV ini menggunakan teknologi Samsung Alloy Quantum Dot, iaitu teknologi pencahayaan Quantum Dot yang dipatenkan oleh Samsung. Ia membolehkan LED-LED yang digunakan tahan lebih lama, dan juga mengurangkan kemungkinan paparan terkena masalah burn-in akibat penggunaan terlalu lama.

Dari segi pengeluaran warna pula, Samsung QLED TV ini mampu mengeluarkan 100 peratus warna RGB melalui teknologi TrueRGB. Apabila kami melihat sebuah unit QLED TV ini beraksi di sebelah televisyen SUHD TV tahun lalu dari Samsung, perbezaan dari segi warna agak ketara, Ini adalah kerana paparan ini mampu mengeluarkan 1 bilion warna dengan bantuan teknologi TrueRGB tersebut.

Paparan QLED TV ini juga cukup terang, kerana ia mempunyai nilai kecerahan 1500 nit untuk model-model 55 inci hingga 75 inci. Model 88 inci yang akan datang nanti pula akan hadir dengan nilai kecerahan 2000 nit.

Salah satu masalah yang dapat dilihat dengan TV-TV besar ini ialah serabut wayar di belakang TV, terutamanya apabila kabel-kabel disambungkan ke belakang televisyen. Untuk mengatasi masalah ini, pihak Samsung meletakkan kesemua port-port yang biasanya hadir di belakang televisyen ke sebuah kotak yang dinamakan Samsung One Connect.

Kotak Samsung One Connect ini sebuah hub untuk semua sambungan-sambungan kabel daripada peranti-peranti yang kebiasaannya akan disambungkan di belakang televisyen secara terus. Dengan menggunakan Invisible Cable, hanya satu kabel yang akan disambungkan dari QLED TV ini ke kotak One Connect. Dari situ, pengguna-pengguna boleh memasang peranti ke One Connect tanpa perlu menyerabutkan kawasan di belakang TV tersebut.

Ciri-Ciri Dan Aksesori

Siri Samsung QLED TV ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang menarik, termasuklah aplikasi-aplikasi seperti Netflix, YouTube, Google Play Movies, dan juga iflix, servis penstriman video buatan Malaysia.

Untuk memudahkan lagi penggunaan TV ini, Samsung juga hadir dengan pengawal TV One Remote yang bukan sahaja boleh mengawal semua fungsi-fungsi televisyen tersebut dari satu tempat, ia juga hadir dengan mikrofon di dalamnya supaya anda boleh memberi arahan suara kepada TV tersebut untuk mengaktifkan aplikasi-aplikasi dan beberapa fungsi yang lain.

Bagi mereka yang ingin menunjukkan QLED TV terbaru ini dengan cara yang lebih kreatif, Samsung mempunyai beberapa pilihan untuk anda. TV ini hadir dengan tiga jenis aksesori tapak yang mempunyai tiga cara penggunaan yang berbeza, bergantung kepada keperluan anda.

Pertama ialah rangka No-Gap Wall Mount yang membolehkan anda melekapkan rangka dinding tanpa perlu mengukur kedudukan dengan begitu teliti. Anda boleh melaraskan rangka ini setelah rangka dan televisyen ini dipasang dengan mudah, tanpa perlu risau televisyen ini terlalu senget. Ia juga boleh ditolak ke arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk keselesaan anda.

Tapak yang kedua ialah Gravity Stand, iaitu sebuah tapak bulat yang mempunyai berat 35KG yang membolehkan paparan Samsung QLED ini dipusing 360 darjah dengan mudah. Sayang sekali, tapak ini tidak membenarkan anda melaraskan paparan ini keatas dan kebawah ataupun ke depan dan ke belakang.

Tapak yang ketiga pula ialah Studio Stand, di mana ia berdiri seperti kekuda ataupun tripod yang mengubah paparan QLED TV ini menjadi sebuah paparan yang seakan-akan sebuah pameran seni. Tapak Studio Stand ini juga membenarkan anda menyembunyi kabel didalam kakinya, dan mengalurkannya keluar di bawah tapak tersebut.

Kesimpulan

Jika anda seorang peminat seni wayang dan mahukan pengalaman menonton filem yang tiada tandingan, siri Samsung QLED TV ini sebuah televisyen yang tiada tandingan buat masa ini. Gabungan teknologi paparan yang tercanggih, ciri-ciri yang menarik dan mudah digunakan, dan juga rekaan yang amat premium memberi televisyen ini kelebihan yang kami rasakan jenama lain tidak boleh atasi buat masa ini.

Dari segi harga pula, sudah pastinya Samsung QLED TV ini hadir untuk golongan bangsawan dan setarafnya. Seperti yang kami terangkan sebelum ini, siri TV ini hadir dalam saiz 55 inci, 65 inci dan juga 75 inci. Tanda harga untuk kesemua TV di dalam siri QLED ini adalah seperti berikut:

  • QLED TV 55-inci Skrin Pipih – RM12,999
  • QLED TV 65-inci Skrin Pipih – RM19,999
  • QLED TV 65-inci Skrin Melengkung – RM22,999
  • QLED TV 75-inci Skrin Pipih – RM35,999
  • QLED TV 75-inci Skrin Melengkung – RM36,999
  • QLED TV 88-inci Skrin Pipih – RM99,999

Jika anda ingin membeli aksesori-aksesori seperti No-Gap Wall Mount dan sebagainya, anda juga boleh membelinya untuk QLED TV ini. Buat masa yang terdekat ini, Samsung

No-Gap Wall Mount – RM599 (PWP RM399)
Gravity Stand – RM2999 (PWP RM1999)
Studio Stand – RM2999 (PWP RM1999)

Sementara itu, Samsung juga sedang mengadakan promo bersempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, dimana anda boleh membeli aksesori-aksesori ini pada harga yang lebih mudah jika anda membelinya bersama-sama sebuah unit Samsung QLED TV di bawah skim Purchase With Purchase.

Untuk menyedapkan lagi pembelian TV yang sangat premium ini, jika anda membeli sebuah unit Samsung QLED TV yang bersaiz lebih besar dari 75 inci, anda juga akan diberi sebuah peranti Samsung Galaxy S8+ yang bernilai RM3699 untuk percuma,.

Jika anda berminat dengan model bersaiz 88 inci, Samsung menyatakan bahawa model tersebut hanya akan hadir di pasaran Malaysia selepas pertengahan tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd