Cari @ Amanz

Pihak ASUS Republic of Gamers (ROG) baru sahaja mengeluarkan video teaser mengenai sebuah laptop dari jenama tersebut yang kelihatan seperti ia akan dikuasakan oleh cip pemprosesan komputer AMD Ryzen yang terbaru.

Melalui video tersebut, dapat dilihat sebuah laptop dengan logo ASUS ROG di dalam logo bulatan AMD Ryzen yang pada waktu kini sudah pastinya sangat dikenali ramai. Tiada butiran mengenai spesifikasi laptop ini, kecuali ianya akan menggunakan cip pemprosesan AMD tersebut.

Apa yang lebih menarik ialah apakah kad grafik yang akan digunakan oleh ASUS untuk menguasakan bahagian grafik laptop ini? Kad grafik AMD RX Vega dikatakan hanya akan diumumkan pada Computex nanti, dan kami akan berasa agak terkejut jika AMD mengumumkan bahawa mereka akan hadir dengan kad grafik untuk platform desktop PC dan juga laptop.

APU (Advanced Processing Unit) AMD yang menggabungkan kuasa CPU Ryzen dan GPU Vega dikatakan tidak akan hadir dalam masa terdekat ini, jadi ada juga kemungkinan bahawa pengumuman ini adalah untuk sebuah peranti yang hanya akan hadir pada penghujung tahun ini.

Apa-apa pun, kami mempunyai firasat bahawa semua persoalan mengenai laptop ini akan dijawab di Computex apabila kedua-dua pihak ASUS dan AMD akan mengumumkan produk-produk terbaru mereka untuk tahun 2017 nanti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd