Cari @ Amanz

ARM pada hari ini sedia popular dengan penawaran rekabentuk cip mereka yang digunakan secara meluas pada peranti mudah-alih. Kini, melangkah ke arena seterusnya, selain daripada arena automotif, ARM juga turut bekerjasama dengan University of Washington untuk membangunkan cip yang boleh diimplan pada otak.

Cip yang ingin dibangunkan ini bertujuan untuk membantu mereka yang mempunyai masalah lumpuh dan sebagainya. Melalui penggunaan cip ini, ia ingin membantu mereka dengan penyakit neurodegenerative, termasuk Parkinson, Alzheimer, malah juga lumpuh. Menggunakan cip ini, ia akan membantu badan untuk dapat bergerak kembali dan menerima maklumbalas sentuhan.

Cip yang akan dibangunkan ini akan memainkan peranan utama dalam mengubah isyarat dari otak, memprosesnya, dan membolehkan otot menerima maklumbalas.

ARM sedia terkenal dengan pembangunan cip bersaiz kecil, menjimatkan tenaga, dan tidak mengeluarkan haba yang tinggi. Ini juga antara keperluan utama dalam pembangunan cip yang boleh diimplan pada manusia.

ARM turut mengatakan yang mana menjadi visi mereka dalam menambah-baik kehidupan di seluruh dunia menggunakan teknologi, dan projek ini selari dengannya.

Seperti biasa, projek ini adalah untuk tempoh jangka masa panjang. ARM akan menawarkan kepakaran mereka, dan bekerjasama dengan para pengkaji dari University of Washington dalam membangunkannya. Buat masa ini, beberapa prototaip awal telah pun sedia dibangunkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd