Carian
Menyingkap Pameran HUMAN+ Di ArtScience Museum, Singapura
May 24, 2017 Arib Ismail

“Adakah kita bakal menemui spesis manusia baru? Ke mana hala tuju spesis kita selepas ini?”

Itu antara persoalan yang dibawa melalui pameran HUMAN+: The Future of Our Species yang sedang berlangsung di ArtScience Museum, Singapura. Pameran ini menempatkan idea daripada 40 para penggiat seni, ilmuan, dan saintis dalam memberikan persoalan mengenai kebolehan dan kemungkinan yang sedang dan bakal hadir pada spesis manusia.

Pameran ini dibangunkan hasil kerjasama di antara ArtScience Museum, Science Gallery di Trinity College Dublin bersama Centre de Cultura Contemporània de Barcelona (CCCB), dalam membayangkan kehidupan dan spesis manusia pada masa akan datang, melalui bahan pameran berasaskan teknologi robotik terkini, hasil seni kontemporari, dan hasilan inovatif daripada institusi tempatan. Pameran ini membawa persoalan apa manfaatnya kehidupan manusia pada saat ini dan akan datang, dengan menilai beberapa perkara seperti isu moral dan konflik masyarakat, berikutan teknologi yang dibangunkan oleh kita pada hari ini.

Sebagai permulaan, pameran HUMAN+ ini terbahagi kepada empat bahagian eksplorasi menerusi Augmented Abilities, Encountering Others, Authoring Environments, dan Life At The Edges. Kesemua pameran ini membawa mesejnya yang tersendiri, yang meliputi peningkatan kebolehan manusia, pengubahsuaian persekitaran, dan penggunaan teknologi robotik, bagi mendapatkan kesejahteraan hidup dan persekitaran yang lebih sempurna.


01. Augmented Abilities

Ruang pameran pertama ini memperlihatkan beberapa kaedah fizikal dan biologikal untuk menambah kebolehan pada minda dan tubuh badan manusia. Apabila pengunjung mula melangkah ke pameran ini, ia menyajikan ruang pameran yang menyaksikan alatan-alatan fizikal, yang mana telah membantu manusia kurang upaya untuk melakukan pergerakan fizikal seperti manusia normal.

Salah satu idea menarik ialah Animal Superpowers, bagi membolehkan manusia menikmati kebolehan spesifik sesuatu haiwan melalui peranti boleh pakai. Antara alat yang diperlihatkan ialah Bat Vision Googles yang membolehkan anda mendengar bunyi ultrasonik seperti kelawar. Satu lagi alat ialah Bird Device yang direka pada tahun 2008, namun teknologinya boleh dikatakan telah berada pada telefon pintar hari ini. Dengan penggunaan GPS yang berada pada alat ini, ia akan memberi isyarat getaran apabila anda menuju ke arah sesuatu destinasi yang betul.

Ia juga memperlihatkan idea menarik seperti Decelerator Helmet yang membolehkan keadaan sekeliling menjadi perlahan. Menariknya kadar gerak perlahan ini boleh diubah menjadi lebih perlahan melalui alat kawalan yang disediakan.

Pameran ini turut menyaksikan Stelarc, iaitu professor di Curtin University, Perth menambah telinga ketiga di lengannya, untuk membolehkan orang ramai mendengar perkara yang didengari oleh professor ini. Telinga tambahan ini disambungkan melalui rangkaian WiFi sekaligus membenarkan pengguna mendengarinya menggunakan internet.

Kebolehan manusia cyborg juga diperlihatkan pada pameran ini, yang memperlihatkan arca Neil Harbisson sebagai manusia pertama yang diiktiraf menjadi manusia cyborg. Ia juga memperlihatkan arca tangan sibernatik hasil penyelidikan daripada Moon Ribas, dengan kebolehan untuk mengenal pasti angka skala Richter semasa gempa bumi.

Bercakap mengenai Neil Harbisson, kami berpeluang untuk menemui beliau dan berbual dengannya melalui artikel berasingan.


02. Encountering Others

Pameran ini membawa kita untuk mengeksplorasi perubahan hubungan sosial melalui kepesatan teknologi. Di dalam pameran ini, kita meninjau bagaimana teknologi dapat mempengaruhi hubungan sosial kita pada masa akan datang.

Kita diperlihatkan dengan satu alat yang dinamakan sebagai Improvised Empathetic Device (I.E.D), iaitu alat empati untuk merasa kesakitan atau kematian orang lain. Apabila seseorang individu diseksa atau dibunuh ketika peperangan, alat ini akan mencucuk jarum ke tubuh si pemakai sehingga berdarah. Ideanya walaupun mengakitbatkan kecederaan pada tubuh pada saat ini, tidak mustahil pada akan datang, ia mampu memberikan pengguna “merasai” kesakitan sebenar tanpa perlu melalui sebarang kecederaan.

Kita juga turut dibawa ke pameran Misheaving: Media Machines Act Out yang memperlihatkan sebuah robot berbentuk kaki, dengan menunjukkan tingkah laku yang “kurang disenangi” secara rawak. Robot ini akan memberi pergerakan hentakan kaki secara kasar, apabila pengunjung mendekatinya. Seperti yang kita ketahui, mesin atau robot sentiasa mengikuti arahan kerja yang ditetapkan, tetapi apa akan jadi sekiranya alatan teknologi ini mempunyai perasaan? Di sinilah Heidi Kumao ingin mempersembahkan ideanya melalui pameran ini.

Pameran True Love oleh Alexander Provokopovich pula mempersoalkan adakah komputer mampu untuk menggambarkan perasan cinta? Untuk mengkaji persoalan ini, Alexander telah berkerjasama dengan editor Astrel-SPb untuk mencipta satu program komputer yang mampu untuk menghasilkan manuskrip secara sendiri. Manuskrip ini mengambil beberapa petikan daripada novel klasik Anna Karenina, tetapi diolah dengan gaya penulisan Haruki Murakami. Walaupun hasil penulisan ini dilihat tidak dilakukan “sepenuhnya” oleh komputer, pameran ini memberikan idea kepada kita, apakah pada akan datang kita mampu untuk mempunyai perasan dengan Artificial Intelligence (AI)?

Pameran Instant Chemistry menunjukkan idea yang menarik ketika fasa memilih pasangan, dengan penawaran sebuah DNA test kit. Ia membolehkan individu untuk menganalisa kesesuaian bakal pasangan melalui kaedah biologi, dengan membuat ujian DNA daripada dua individu berbeza.


03. Authoring Environments

Pameran ketiga HUMAN+ dilihat untuk menyingkap hubungkait manusia yang dapat meningkatkan penumbuhan alam semula jadi. Dalam pameran ini memperlihatkan Foragers, dilihat ingin mengatasi masalah penghasilan makanan, berikutan kekurangan sumber dan peningkatan populasi dunia. Menurut United Nations, kita perlu menghasilkan lebih 70% bahan makanan berbanding pada saat ini dalam masa 40 tahun lagi.

Dunne & Ruby, iaitu pemilik idea pada pameran ini bertanya kepada kita, apa akan terjadi sekiranya manusia mampu menyerap nutirisi makanan yang bukan direka untuk manusia seperti rumput? Pameran ini sedikit sebanyak memberikan idea kepada penghasilan alat cernaan buatan yang diinspirasikan daripada sistem cernaan daripada mamalia, burung, ikan, dan serangga.

Pameran ini juga turut memperlihatkan idea Bee Beemer bagi menggantikan lebah sebenar sebagai agen untuk proses pendebungaan. Lebah boleh dikatakan semakin ‘hilang’ (bukan pupus/mati) dari hari ke hari, akibat daripada pengubahsuai genetik pada tumbuhan, racun serangga, parasit, dan peningkatan radiasi elektromagnet.

Idea pada pameran ini adalah gambaran sekiranya manusia mampu mencipta serangga sintetik berbentuk lebah, untuk hidup dan memenuhi keperluan alam semula jadi. Penciptaan ini merangkumi pengambilan plasmid daripada haiwan berbeza (untuk mengambil keupayaan spesifik), pengubahsuaian genetik, dan akhirnya disenyawakan dalam embrio lebah.


04. Life At The Edges

Apa akan terjadi sekiranya teknologi dapat mencipta humanoid?

Di sinilah pameran akhir HUMAN+ ingin mengajak kita untuk mendekati Nadine, iaitu rekacipta berbentuk humanoid yang mampu berinteraksi seperti manusia. Ia mempunyai rupa dan wajah seperti seorang perempuan, yang dapat memberi interaksi natural melalui pergerakan tangan dan kelipan mata. Anda dibenarkan untuk berinteraksi dengan Nadine pada pameran ini untuk memberi idea awal bagaimanakah humanoid ini bakal berfungsi pada akan datang.

Life At The Edges juga membincangkan tentang pengubahsuaian sesebuah anggota bayi sewaktu dilahirkan, melalui pameran Transfigurations. Pengubahsuaian ini membolehkan bayi menerima suhu badan dan rupa yang lebih baik disamping mengelakkan bayi terkena sesuatu penyakit.

Pameran When We All Live To 150 dari Jaemin Paik pula membayangkan model keluarga sekiranya perkahwinan berasaskan kontrak diamalkan, yang dilihat lebih bersesuaian untuk tempoh kehidupan yang panjang. Dalam idea pameran ini, sekiranya manusia pada akan datang mampu hidup melebihi 150 tahun, perkahwinan dengan seseorang individu tidak semestinya berpanjangan sehingga akhir hayat, sebaliknya berdasarkan kontrak kepada 30 tahun yang boleh dipanjangkan atau ditamatkan.

Pameran yang paling menarik perhatian kami adalah idea mengenai cara pengebumian manusia selepas mati. Pengebumian manusia pada hari ini kebanyakannya masih kekal dengan cara yang diamalkan sejak berkurun-kurun lamanya, dengan menanam jasad si mati ke dalam tanah.

Tetapi melalui pameran Afterlife, ia memberikan kita kepada idea untuk memproses jasad manusia ini menjadi sesuatu barangan yang berguna untuk kegunaan harian. Barangan-barangan ini kemudiannya dilabelkan dengan nama si mati, bagi memudahkan kita memperingati pemergian mereka. Idea ini mungkin kedengaran agak sedikit menyeramkan, tetapi ia dapat memanfaatkan jasad manusia daripada ia ‘terbuang’ di dalam tanah.


Terdapat banyak lagi idea menarik yang diperlihatkan pada pameran ini, bagi mewujudkan lebih banyak lagi persoalan kepada anda dalam perkembangan spesis manusia. Bagi anda yang berkesempatan untuk melawat ke Singapura, pameran ini telah berlangsung di aras B2, ArtScience Museum, bermula 20 Mei sehingga 15 Oktober 2017. Bayaran tiket (bukan warganegara) yang dikenakan adalah sebanyak SGD$12 (kanak-kanak atau warga emas) dan SGD$17 (dewasa).

HUMAN+ cukup memberikan suatu gambaran mengenai kebolehan dan kemungkinan yang bakal berlaku pada spesis manusia, yang mana mampu dilakukan melalui kaedah teknologi dan biologikal. Kesemua perkara yang menjadi fiksyen sebelum ini nampaknya sudah mula menjadi nyata, dengan peningkatan teknologi kejuruteraan genetik, bioteknologi, dan nanoteknologi.

Persoalan seperti, “adakah evolusi manusia akan terhenti?” bakal menemui jawapannya di pameran HUMAN+ ini, dengan memperlihatkan banyak idea menarik untuk merungkai persoalan anda.

Komen