Microsoft Surface Pro Dilancarkan Dengan Bateri Mampu Bertahan Sehingga 13.5 Jam

Microsoft Surface Pro Dilancarkan Dengan Bateri Mampu Bertahan Sehingga 13.5 Jam

Diterbitkan pada Mei 23, 2017 oleh .

Di acara khas yang berlangsung di Shanghai sebentar tadi, komputer tablet Micorosft Surface Pro dilancarkan secara rasmi. Ini merupakan versi ke-lima Surface Pro yang dihasilkan oleh mereka tetapi kali ini nama yang digunakan tidak lagi bernombor.

Surface Pro diperkasakan dengan pemproses Intel Core M3, i5 dan i7 dari keluarga Kaby Lake. Untuk model Core M3 dan i5, ia tidak disertakan dengan kipas penyejuk yang membolehkannya berfungsi dengan senyap. Microsoft menjanjikan hayat penggunaan bateri sehingga 13.5 jam.

Skrin Surface Pro dipertingkatkan dengan sokongan Surface Dial. Microsoft mengesahkan Surface Dial turut akan disokong oleh Surface Laptop dan Surface Pro 4 di masa hadapan melalui kemaskini firmware.

Dari segi rekaan tiada perubahan besar dilakukan. Tongkat pada bahagian belakang diperhalusi dan boleh dilipat sehingga 165 darjah. Pada waktu yang sama bahagian sisi dibulatkan sedikit bagi meningkatkan keselesaan ketika dipegang dalam mod tablet.

Seperkara lagi Microsoft akan menawarkan model dengan sokongan LTE menerusi SIM mikro dan e-SIM. Aneh sekali tiada sokongan untuk USB-C. Hanya port USB-A, mini DisplayPort dan Surface connector diberikan.

Tidak seperti Suface Pro sebelum ini, model terkini tidak akan hadir dengan Surface Pen terkini dengan setiap pembelian. Surface Pen model terbaru ini mampu mengesan sudut ia dipegang seperti sebuah Apple Pen. Tahap mengesan tekanan juga meningkat ke 4096.

Seperti Surface Laptop, papan kekunci Type Cover hadir dengan kemasan alcantara. Tiga pilihan warna diberikan iaitu platinum, burgundy, dan biru cobalt. Bagi yang tidak menggemari kemasan alcantara, papan kekunci biasa dalam warna hitam ditawarkan.

Pra-tempahan sudah mula dibuka dan Surface Pro dijual pada harga bermula dari $799 (~RM 3430). Surface Pen pula pada harga $99 (~RM 425) dan Surface Type Cover pada harga bermula $129 (~RM 553).


TIPS & ULASAN