Cari @ Amanz

Tidak cukup dengan siri papan induk dan kad grafik, MSI nampaknya mahu mengembangkan portfolio mereka di dalam industri komponen komputer dengan memperkenalkan penyejuk CPU baru – MSI Core Frozr XL.

Ini bukanlah kali pertama MSI membuat sebuah penyejuk CPU, dan MSI Core Frozr XL ini adalah lanjutan kepada penyejuk Core Frozr mereka sebelum ini. Model baru ini hadir dengan timbunan sirip aluminum yang diselubungi plastik ABS dan menggunakan dua kipas bersaiz 120mm dalam konfigurasi push-pull untuk menyejukkan sirip-sirip aluminum yang mengalirkan haba dari CPU.

Walaupun penyejuk Core Frozr XL ini besar dan tinggi, rekabentuknya membolehkan pengguna mengakses slot PCIE yang di atas sekali tanpa masalah. Para pengguna juga boleh mengubahsuai ketinggian kipas-kipas penyejuk ini untuk memuatkan modul RAM yang tinggi tanpa sebarang masalah.

Dari segi spesifikasi, penyejuk CPU MSI Core Frozr XL ini menyokong soket-soket CPU seperti AMD AM4, AM3+, FM2 dan dari Intel, LGA2011, LGA115x, LGA1366, LGA775 dan sebagainya.

Buat masa ini, pihak MSI masih belum mengumumkan tarikh pelancaran ataupun harga untuk perkakasan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd