Cari @ Amanz

Kapal angkasa Space Shuttle kali terakhir terbang ke angkasa pada tahun 2011. Ia adalah kapal kargo utama yang digunakan oleh NASA bagi membawa bukan sahaja angkasawan malahan satelit dan komponen untuk stesen angkasa ISS. Persaraan Space Shuttle terpaksa dilakukan kerana ia telah berusia dan insiden maut Columbia pada tahun 2003.

Bagi menggantikan kapal angkasa ini, DARPA memulakan program Experimental Spaceplane (XS-1). Melalui program ini sebuah kapal angkasa baru dapat terbang ke angkasa lepas dengan membawa sehingga 3000 pound kargo tanpa sebarang krew. Usai menghantar kargo ia akan kembali mendarat seperti kapal terbang. Menariknya mengenai program XS-1 ialah ia mensasarkan kemampuan melakukan 10 penerbangan ke angkasa dalam masa 10 hari.

Boeing baru sahaja memenangi kontrak untuk membina Phantom Express, kapal angkasa pertama di dalam program XS-1. Phantom Express akan terbang menegak menggunakan roket booster dan sedia untuk terbang dengan segera tanpa perlu menanti berbulan lamanya seperti sistem pelancaran roket sedia ada.

Program XS-1 berbeza daripada X-37 yang dilakukan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat. Phantom Express mempunyai saiz yang lebih besar (seperti pesawat peribadi) dan boleh digunakan untuk sektor awam. X-37 yang telah melakukan beberapa penerbangan ke angkasa masih lagi diklasifikasikan sebagai projek rahsia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd