Cari @ Amanz

Konsep tetikus yang boleh diubahsuai bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi, kebanyakan tetikus yang boleh diubahsuai ini tidak selalunya mendatangkan faedah yang boleh dirasa secara terus.

ASUS dilihat mahu mengubah persepsi tersebut dengan mengumumkan kehadiran dua tetikus gaming terbaru mereka, iaitu ASUS ROG Pugio dan juga ASUS ROG STRIX Evolve, yang boleh diubahsuai untuk mengikut citarasa penggunaan anda.

ASUS ROG Pugio dilihat sebagai model yang lebih agresif diantara kedua-dua tetikus ini, dan hadir dengan rekabentuk yang lebih bersegi, berbanding rekaan kemas dan licin ASUS ROG STRIX Evolve.

Gimik untuk ROG Pugio ini ialah kebolehannya untuk menukar posisi butang di bahagian tepi tetikus tersebut, biasanya di bahagian terletaknya ibu jari anda. Bahagian dimana butang-butang tepi ini tidak diperlukan boleh diisi dengan kepingan plastik yang melengkapkan rekaan tetikus ini.

Bagi ROG STRIX Evolve pula, tetikus ini adalah untuk mereka yang gemar bermain permainan-permainan video yang berlainan genre, termasuklah FPS, MOBA, RPG dan sebagainya. Cangkerang bahagian atas tetikus ini boleh dibuka dan diubahsuai bergantung kepada keperluan anda. Menurut pihak ASUS, mereka akan memasukkan empat jenis cangkerang yang berlainan untuk genre-genre permainan video dan cara penggunaan tetikus yang berbeza.

Selain dari itu, kedua-dua tetikus ini juga akan hadir dengan sokongan nyalaan RGB yang boleh dikawal menggunaan perisian Aura Sync. Buat masa ini, harga dan tarikh pelancaran kedua-dua tetikus ini masih belum diketahui.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd