NVIDIA Mengumumkan Max-Q – Kaedah Rekaan Baru Untuk Komputer Riba Nipis Dan Senyap

NVIDIA Mengumumkan Max-Q – Kaedah Rekaan Baru Untuk Komputer Riba Nipis Dan Senyap

Diterbitkan pada Mei 30, 2017 oleh .

NVIDIA hari ini telah memperkenalkan kaedah rekaan baru yang membuatkan komputer riba memfokuskan permainan hadir dengan rekaan lebih nipis, dan pada masa yang sama senyap dan lebih pantas. NVIDIA menamakan kaedah rekaan ini dan teknologi disebaliknya sebagai Max-Q.

Komputer riba dengan rekaan Max-Q akan dihasilkan oleh para pengeluar komputer riba, dan NVIDIA akan bekerjasama dengan para pengeluar berkenaan. Komputer riba yang menggunakan kaedah rekaan Max-Q ini dijangka hadir pada penghujung Jun 2017 ini.

NVIDIA Max-Q

NVIDIA mengatakan melalui penggunaan rekaan Max-Q, ia membolehkan komputer riba yang lebih 3 kali ganda nipis dihasilkan, dan pada masa yang sama menawarkan kuasa pemprosesan 3 kali ganda berbanding generasi sebelumnya.

Secara kasar, pengeluar komputer riba yang menggunakan rekaan Max-Q ini boleh menghasilkan komputer riba memfokuskan permainan video pada ketebalan hanya sekitar 18mm – iaitu setebal sebuah MacBook Air. Ini boleh dikatakan sebuah pencapaian yang baik, apatah lagi memandangkan pelbagai komputer riba dipasaran hari ini sangat tebal dan mungkin tidak begitu mesra untuk dibawa ke mana-mana.

Dalam usaha untuk memastikan ia menawarkan prestasi baik tanpa bunyi yang kuat, NVIDIA turut mengumumkan NVIDIA WhisperMode Technology. Melaluinya, ia membolehkan komputer riba beroperasi secara lebih senyap ketika menjalankan permainan.

Komputer riba dengan rekaan Max-Q ini akan dilengkapi kad grafik GeForce GTX 1080, 1070 dan juga 1060. Pelbagai pengeluar akan menghasilkan dan menawarkan penawaran masing-masing, termasuk daripada Acer, Alienware, ASUS, HP, Lenovo, dan lain-lain.


TIPS & ULASAN