Cari @ Amanz

Minggu lepas, kami melaporkan bahawa ASUS telah mengeluarkan teaser untuk sebuah laptop yang akan dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen. Laptop tersebut kini berada di pameran ASUS di Computex, dan butiran mengenainya sudahpun keluar untuk paparan umum.

Laptop tersebut dinamakan ASUS ROG STRIX GL702ZC, dan ia hadir dengan pelbagai spesifikasi-spesifikasi yang cukup menarik. Ia digerakkan oleh CPU AMD Ryzen 7 1700, yang hadir dengan 8 teras dan 16 bebenang kuasa. Dari segi memori, ia hadir dengan beberapa konfigurasi yang berbeza, tetapi mampu menyokong jumlah memori sehingga 32GB tanpa sebarang masalah.

Untuk storan pula, laptop ini dilengkapi dengan pilihan SSD NVMe sebanyak 128GB hingga 512GB dan juga sebuah cakera keras SSHD sebesar 1TB. Pilihan kad grafik menjadi tanda tanya yang terbesar untuk laptop ini, kerana kad grafik AMD RX Vega belum lagi diumumkan oleh pihak AMD. Persoalan tersebut kini sudah terjawab, kerana pihak ASUS menggunakan kad grafik AMD RX 580.

Paparan laptop ROG STRIX GL702ZC ini bersaiz 17.8 inci, dan mempunyai resolusi paparan Full HD (1920×1080). Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi paparan AMD FreeSync 2, tetapi apabila ditanya, pihak ASUS tidak dapat memberikan kata putus mengenai nilai kadar segar semula paparan tersebut.

Dari segi I/O, laptop ini hadir dengan tiga port USB 3.0, sebuah port USB 3.1 Type-C, Mini DisplayPort dan juga HDMI. Seperti kebiasaannya, ia juga mempunyai sebuah pembaca kad SD.

Seperti banyak perkakasan dan peranti yang baru diumumkan di acara Computex ini, tarikh pengeluaran dan harga laptop ASUS ROG STRIX GL702ZC ini masih belum diketahui.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd