Cari @ Amanz

Andy Rubin, pengasas Android sebelum ini telah keluar daripada Google dan memulakan syarikat beliau tersendiri. Selepas berkongsi secara ringkas mengenai pembangunan telefon pintar beliau tersendiri sebelum ini, hari ini ia diperkenalkan secara rasmi kepada semua.

Dinamakan sebagai Essential Phone, ia membawakan rekaan nisbah skrin ke badan yang sangat tinggi, sekaligus menjadikan bingkai tepi skrin sangat nipis. Berbeza dengan beberapa peranti dengan rekaan bingkai nipis, Essential Phone menggunakan rekaan tersendiri, malah skrin turut meliputi bahagian kamera hadapan. Selain daripada itu, tiada sebarang logo yang dipaparkan pada telefon pintar ini – sama ada dihadapan, mahupun dibelakang.

Essential Phone

Dari segi spesifikasi, Essential Phone hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 835, memori 4GB RAM dan juga ruangan storan 128GB. Peranti ini menggunakan rekaan kerangka berasaskan seramik dan gabungan dengan titanium.

Untuk rakaman gambar, ia menggunakan kamera hadapan 8-megapixel yang turut boleh merakam pada resolusi 4K, selain dwi-kamera belakang 13-megapixel yang menawarkan gabungan sensor untuk rakaman gambar berwarna atau gambar hitam-putih sahaja. Seperti kebanyakkan peranti, ia juga turut dijana menggunakan sistem operasi Android.

Essential Phone

Essential Phone ini juga turut dilengkapi dengan penyambung magnetik pada bahagian belakang, berhampiran dengan kamera belakang. Ia merupakan modul penyambung kepada modul tambahan, dan bersempena dengan pengenalan ini, Essential menawarkan kamera 360-darjah, selain sebuah dock khusus – yang mana kedua-duanya boleh bergabung pada penyambung berkenaan.

Buat masa ini, telefon pintar ini hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja. Kebarangkalian ia ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia adalah sangat kecil. Peranti ini boleh dipra-tempah di Amerika Syarikat pada harga $699 iaitu sekitar RM2999.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd