Sering Terlihat Tetingkap CMD Yang Buka Dan Tutup Pada Komputer Windows? Ini Adalah Sebabnya

Sering Terlihat Tetingkap CMD Yang Buka Dan Tutup Pada Komputer Windows? Ini Adalah Sebabnya

Diterbitkan pada Mei 31, 2017 oleh .

Bagi anda yang menggunakan komputer Windows dan mempunyai Microsoft Office versi terkini terpasang, salah satu perkara yang mungkin anda perasan sejak sehari dua kebelakangan ini adalah dimana sebuah tetingkap buka dan tutup dalam hanya sesaat secara automatik – hampir setiap jam.

Perkara ini mungkin membuatkan anda panik – sama ada risau anda diserang malware, atau seperti ada seseorang memerhatikan anda. Apatah lagi dengan pelbagai serangan ransomware akhir-akhir ini.

Menjawab mengenainya, hal ini sebenarnya hadir adalah disebabkan oleh masalah pepijat pada Microsoft Office. Kemaskini Microsoft Office yang terkini mempunyai masalah dengan tugasan di latar, membuatkan tetingkap CMD terbuka dan tertutup secara automatik hampir setiap jam.

Selain mungkin membuatkan anda risau, ia juga turut memberikan impak sekiranya anda menjalankan aplikasi atau perisian pada skrin penuh – sebagai contoh permainan, dimana ia akan menutup tetingkap berkenaan dan memberikan kesan ketika menggunakannya.

Microsoft mengatakan mereka akan menawarkan patch untuk Microsoft Office, tetapi ia mungkin mengambil masa seketika sebelum anda menerimanya.

Task Scheduler

Untuk sementara waktu, anda juga boleh mematikan masalah ini secara sendiri dengan menutup tugasan latar berkenaan, iaitu dengan ke halaman Task Scheduler (Tekan butang Windows dan taip Task Scheduler). Seterusnya memilih ke Task Scheduler > Task Scheduler Library > Microsoft > Office. Dan akhir sekali klik kanan pada OfficeBackgroundTaskHandlerRegistration, dan pilih Disable.


TIPS & ULASAN