Siri CPU AMD Threadripper Diumumkan Secara Rasmi – Sehingga 16 Teras Dan 32 Bebenang Kuasa
AMD

Siri CPU AMD Threadripper Diumumkan Secara Rasmi – Sehingga 16 Teras Dan 32 Bebenang Kuasa

Diterbitkan pada Mei 31, 2017 oleh .

Di acara pengumuman perkakasan-perkakasan komputer AMD yang berlangsung hari ini, syarikat pembuat cip tersebut mengumumkan siri CPU HEDT (High End Desktop) mereka yang terbaru – AMD Ryzen Threadripper.

Lisa Su, CEO AMD mengesahkan bahawa siri CPU AMD Threadripper ini akan hadir dengan 16 teras dan 32 bebenang untuk model tertinggi, walaupun tiada butiran mengenai model-model ini diumumkan pada acara tersebut, selain daripada siri CPU ini juga akan hadir dengan 64 aluran PCIe, jumlah yang cukup banyak untuk menyokong konfigurasi CrossFireX dengan empat kad grafik AMD.

Siri CPU ini juga akan menggunakan soket baru yang dinamakan TR4, dan ia mempunyai 4094 pin yang menggunakan sistem pin LGA (Land Grid Array) berbanding dengan PGA (Pin Grid Array) yang biasanya digunakan oleh AMD untuk semua CPU moden mereka.

Pihak AMD juga menunjukkan sistem AMD Threadripper ini menjalani ujian penanda-aras Blender, dan ia melengkapkan ujian tersebut tanpa sebarang masalah di dalam masa satu minit sahaja.

Dari segi papan induk, pembina-pembina komponen PC seperti ASUS, ASRock, GIGABYTE, MSI dan sebagainya bakal hadir dengan papan induk X399 yang akan hadir pada musim panas tidak lama lagi, selari dengan tarikh pengeluaran CPU AMD Threadripper ini.


TIPS & ULASAN