Cari @ Amanz

Di acara Computex tahun ini, MSI bukan sahaja mengumumkan ketibaan papan induk, kad grafik dan laptop yang baru, tetapi juga sebuah prototaip kad storan hibrid yang menggabungkan storan cakera keras 2.5 inci dan juga dua SSD M.2 untuk membuat sebuah cache  yang mempercepatkan kelajuan cakera keras tersebut.

Menurut MSI, kedua-dua SSD M.2 tersebut boleh disambungkan dengan array RAID 0, dan hadir dengan kelajuan data setinggi 7,200MB/s menggunakan slot PCIe 3.0 x8. Melalui kad storan hibrid ini, pengguna boleh mengakses data dengan sangat pantas, hampir sepantas RAM sepanjang masa tanpa perlu risau mengenai kehilangan data.

MSI juga menggunakan super capacitor yang mampu menyimpan data walaupun bekalan kuasa komputer terputus sebagai langkah keselamatan.

Dari segi penyejukan pula, kad storan ini disejukkan menggunakan kipas kecil yang akan mengalirkan haba daripada SSD-SSD tersebut. Buat masa ini, MSI menyatakan bahawa kad ini hanya akan hadir bersama-sama komputer desktop oleh MSI. Syarikat tersebut masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menjualnya secara berasingan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd