Dengan akhirnya acara Computex 2017, kita telah melihat beberapa pengumuman laptop baru yang bukan sahaja hadir dengan rekabentuk yang nipis, tetapi spesifikasi yang cukup berkuasa juga.
Illegear, pembuat gaming laptop dan desktop yang berasal dari Malaysia baru sahaja menunjukkan teaser sebuah laptop yang bukan sahaja cukup bergaya, tetapi juga hadir dengan spesifikasi yang hebat.
Dari gambar yang ditunjukkan, kita dapat melihat rekaan cangkerang yang nampaknya diperbuat daripada logam aluminium, dan juga lubang pengudaraan dengan logo Illegear. Daripada hashtag pula, dapat dilihat bahawa laptop ini akan dikuasakan oleh CPU Intel Kaby Lake, dan juga akan hadir dengan kad grafik NVIDIA dan juga paparan skrin GSYNC.
Berdasarkan betapa nipisnya laptop ini, kami berpendapat ia akan hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060, ataupun kad grafik GTX 1080/1070 yang menggunakan teknologi NVIDIA Max-Q yang sudahpun diumumkan oleh beberapa jenis laptop sebelum ini.
Buat masa ini, pihak Illegear masih belum mengumumkan apa-apa butiran lanjut mengenai harga dan tarikh pengeluaran laptop tersebut, tetapi kami pasti mereka akan mengumumkan sesuatu tidak lama lagi.