Cari @ Amanz

Pada acara WWDC setiap tahun, platform perisian daripada Apple sering menerima perhatian utama. Untuk WWDC 2017, ia tidak ketinggalan, dan Apple secara rasminya telah memperkenalkan iOS 11 – sistem operasi yang bakal menjana bukan sahaja iPhone baru akan datang, tetapi juga sejumlah peranti mudah-alih lain Apple yang sedia dipasaran.

iOS 11 meneruskan revolusi Apple dalam terus memudahkan pelbagai penggunaan harian, sekaligus menjadikan kehidupan lebih produktif lagi. Berikut merupakan sejumlah ciri-ciri baru yang hadir ke iOS11:

Taip Untuk Berinteraksi Dengan Siri

Sehingga sebelum ini, pengguna boleh berinteraksi dengan Siri hanya melalui arahan dan input berasaskan suara sahaja. Melalui iOS 11, perkara berkenaan bakal berubah, dan pengguna turut boleh menaip persoalan mereka untuk berinteraksi dengan Siri. Ini semestinya akan diminati ramai untuk menggunakan Siri ketika ditempat ramai orang – seperti ketika dalam keretapi.

Menjadikan iPad Lebih Produktif

Apple iOS 11

Melalui iOS11, Apple dilihat bukan sahaja ingin menawarkan tablet iPad sebagai peranti untuk menikmati kandungan, tetapi juga untuk menjana dan membuat kandungan melaluinya.

Kini, pada iPad, pengguna boleh mengakses dok aplikasi dari mana-mana skrin dengan hanya perlu menatal ke atas. Selain daripada itu, anda boleh turut membuka aplikasi kedua daripada doc, dan menggunakan dua aplikasi dengan lebih pantas berbanding sebelum ini melalui Split View.

iOS11 juga turut akan menawarkan kemudahan untuk drag-drop antara dua aplikasi ketika Split View.

Perubahan Pada Control Center

Apple iOS 11Control Center pada iOS10 hadir dengan tiga panel berbeza untuk pelbagai kawalan yang berlainan. Ini mungkin sedikit menyukarkan pengguna dan tidak begitu digemari.

Pada iOS11, perkara berkenaan diatasi, dan semua ciri utama dipaparkan melalui satu panel yang sama yang diberikan nafas baru. Pengguna juga turut boleh mengakses kepada beberapa ciri-ciri tambahan dengan membuat 3D Touch pada sesuatu fungsi.

App Store Diberikan Nafas Baru

Apple AppStore Baru

Pada iOS11, App Store telah direkabentuk semula dalam memudahkan lagi anda menemui aplikasi dan permainan baru. Pengguna juga turut disediakan dengan tab “Today” yang memaparkan kandungan daripada pakar dan para editor untuk berkongsi berkaitan sesuatu aplikasi yang mungkin menarik minat anda.

Siri Kini Lebih Pintar, Dan Berkomunikasi Lancar

iOS 11 terus membawakan penambah-baikkan kepada pembantu maya digital Apple, iaitu Siri. Kini, melalui integrasi pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, ia boleh membantu anda dalam lebih banyak perkara – malah lebih efisyen berbanding sebelumnya. Pengguna juga kini boleh melakukan terjemahan kepada sesuatu bahasa lain dengan pantas menggunakan Siri.

iOS 11 Siri

Disamping itu, Siri juga kini berkomunikasi dengan lebih lancar, termasuk menawarkan beberapa suara baru.

Apple mengatakan Siri boleh mempelajari kaedah penggunaan anda, dan ia boleh menyediakan sesuatu perkara sebelum anda bertanyakan kepada Siri. Siri mungkin memberikan cadangan menaip untuk anda, mencadangkan kata kunci carian berdasarkan apa yang anda baca sebelum ini, dan memberikan bantuan konteks berdasarkan apa anda layari dan buat di Safari.

Ketahui Apa Rakan Anda Sedang Dengar Di Apple Music

Melalui kemaskini Apple Music baru, kini Apple turut akan memudahkan anda mengetahui apakah lagu-lagu baru yang sedang didengar oleh rakan-rakan anda, sekaligus membolehkan anda berkongsi citarasa dengan mereka.

Elak Gangguan Ketika Memandu

Apple iOS 11

iPhone melalui iOS11 boleh mengenal-pasti ketika anda sedang memandu, dan sekaligus mematikan sokongan notifikasi, panggilan dan sebagainya sehingga anda sampai ke destinasi. Pengguna yang cuba menghubungi anda juga akan diberikan mesej yang mana anda sedang memandu dan akan menghubungi mereka kembali setibanya anda di lokasi.

QuickType – Taip Dengan Sebelah Tangan

Pada iOS11, Apple memudahkan lagi proses penggunaan peranti dengan satu tangan. Kini, pengguna boleh menekan butang emoji untuk seketika dan memilih ciri menaip dengan sebelah tangan. Sebaik sahaja memilihnya, papan kekunci maya akan dioptimasikan untuk penggunaan menaip sebelah tangan.

Penambah-Baikkan Pada Gambar Dan Video

Melalui iOS11, Apple akan menggunakan sokongan compression HEVC yang sekaligus menjimatkan ruangan apabila anda merakamkan video menggunakan iPhone. Perkara sama juga turut dicapai untuk gambar melalui penggunaan HEIF yang akan mengurangkan saiz gambar yang disimpan di iPhone.

Selain daripada itu, Apple turut akan menggunakan sokongan pembelajaran mesin untuk menjana gambar berulang daripada rakaman Live Photo.

Sync iMessage Antara Peranti

iOS11 turut menyertakan kebolehan untuk sync semua mesej anda di iMessage antara peranti anda melalui iCloud. Ini sekaligus memudahkan anda kekal berinteraksi dengan rakan lain sama ada di iPhone, iPad atau Mac – dan melihat mesej yang sama. Sekiranya anda memadam sesuatu mesej di iPhone, ia juga turut akan terpadam di peranti anda yang lain.

Disamping itu, kini iMessages turut menyertakan sebuah talam aplikasi untuk memudahkan anda menemui sticker dan aplikasi.

Sokongan Merakam Skrin

Pada hari ini, anda perlu menghubungkan iPhone ke Mac untuk merakamkan skrin dalam bentuk video. Tetapi, melalui iOS11, perkara berkenaan akan berubah, dan memudahkan lagi anda merakamkan penggunaan skrin anda untuk dikongsi bersama pengguna lain.


Ini hanya sebahagian daripada ciri-ciri baru yang hadir, dan kita mungkin akan mengetahui lanjut ketika pelancaran rasmi untuk pengguna kelak.

iOS 11 akan hadir dalam beberapa bulan lagi, adn bakal menyokong iPhone 5S dan terkini, iPad Mini 2 dan terkini, iPad 5, iPad Air dan tekrini, iPad Pro, dan iPod Touch 6.

Apple iOS 11

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd