Cari @ Amanz

Asus Malaysia kini telah mula menghantar emel kepada media tempatan yang menyertakan sebuah mesej tersembunyi – memperlihatkan mereka bakal melancarkan sejumlah produk, masing-masing pada bulan Jun, Julai dan juga Ogos ini.

Apakah produk yang bakal dilancarkan masih tidak diketahui sepenuhnya. Asus melalui emel yang dihantar sekadar mengatakan mereka akan melancarkan produk “Zen” pada pertengahan Jun dan pada bulan Ogos, selain menggunakan kata kunci “Augment” untuk pelancaran produk pada bulan Julai.

Asus Zenfone AR

Jikalau melihat peranti yang telah melepasi Sirim, kita mungkin akan melihat Asus Zenfone AR dilancarkan pada bulan Julai kelak. Asus Zenfone AR memfokuskan kepada sokongan augmented reality, dan hadir dengan cip Snapdragon 821, memori mencapai 8GB RAM, skrin 5.7-inci, serta storan sehingga 256GB. Ia menyokong AR melalui integrasi penggunaan Project Tango, selain turut menyokong Google Daydream untuk realiti-maya. Model dan spesifikasi yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia masih menjadi persoalan buat masa ini.

Selain daripada Zenfone AR, dua peranti lain turut dijangka dilancarkan. Sebelum ini, kami terdengar desas-desus yang mana ZenBook 3 Deluxe mungkin akan hadir ke Malaysia dalam masa terdekat. Mungkinkah kita akan melihat penawaran produk ZenBook pada bulan Jun atau Ogos ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd