Carian
ESL Bakal Bertapak Di Asia Tenggara – Akan Hadir Dengan Dua Pertandingan DoTA 2 Di Bawah ESL One Pada 2018
June 7, 2017 Nazrin

Fenomena e-sukan semakin hangat saban tahun di seluruh dunia, terutamanya Asia Tenggara dengan pelbagai syarikat mendirikan pertandingan-pertandingan berasaskan permainan komputer seperti DoTA, League of Legends, Overwatch dan sebagainya.

ESL, salah sebuah syarikat yang terkenal di serata dunia untuk pertandingan-pertandingan e-sukan ini nampaknya bakal bertapak di Asia Tenggara tidak lama lagi untuk mencengkam pasaran e-sukan di rantau ini.

Menurut pihak ESL, mereka akan membuka ibu pejabat di Singapura tidak lama lagi, dan telah menjawat Sebastian Radu sebagai CEO syarikat ESL di rantau ini buat masa ini. Sebastian mempunyai pengalaman di dalam bidang e-sukan sejak tahun 2004, apabila beliau membuka syarikat e-sukan beliau sendiri di negara Sepanyol. Syarikat tersebut menjadi rakan kongsi ESL pada tahun 2006, dan diserap masuk ke dalam ESL beberapa tahun kemudian.

Sebelum ini, ESL telahpun mendirikan dua pertandingan e-sukan di rantau ini, termasuklah ESL One Manila pada tahun lepas dan ESL One Genting pada awal tahun ini. Kedua-dua pertandingan ini dihadiri oleh 30,000 penggemar e-sukan dan permainan komputer, dan hadir dengan hadiah wang tunai bernilai $500,000 (RM2.1 juta).

Sebuah syarikat penyelidikan bernama Newzoo juga telah menjalankan penyelidikan ke dalam fenomena e-sukan di rantau ini, dan menyatakan bahawa Asia Tenggara merupakan rantau kelima terpantas di dunia di mana e-sukan sedang membangun dengan pesat, dengan 26 juta peminat dan pendapatan diunjurkan sehingga $33 juta (RM1,408,713,230).

Dengan penubuhan ibu pejabat di Singapura, ESL juga menyatakan hasrat untuk membangunkan dua pertandingan e-sukan berdasarkan permainan komputer DoTA 2 pada tahun 2018 kelak.

Komen