AORUS Gaming Box – Kotak Grafik Luaran Dengan Kad Grafik NVIDIA GTX 1070

AORUS Gaming Box – Kotak Grafik Luaran Dengan Kad Grafik NVIDIA GTX 1070

Diterbitkan pada June 7, 2017 oleh .

Kotak grafik luaran (External Graphic Enclosure) untuk laptop-laptop yang menyokong teknologi tersebut bukanlah sesuatu yang baru. Syarikat-syarikat seperti ASUS, Dell dan Razer sudahpun hadir dengan peranti mereka masing-masing, tetapi kebanyakan daripadanya biasanya hadir dengan kotak kosong sahaja, dan anda perlu memasukkan kad grafik anda sendiri ke dalamnya.

Terkini, nampaknya pihak AORUS juga bakal hadir dengan kotak grafik luaran buatan mereka sendiri. Di acara Computex minggu lalu, syarikat tersebut juga memperlihatkan peranti buatan mereka, yang dinamakan AORUS Gaming Box. Apa yang membezakannya dengan banyak kotak grafik luaran yang lain ialah ia hadir dengan sebuah kad grafik yang terbina di dalamnya, iaitu sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070.

Kotak grafik ini boleh disambungkan kepada laptop yang mempunyai sokongan teknologi Thunderbolt 3, dan selain daripada meningkatkan prestasi grafik laptop anda, ia juga hadir dengan beberapa sokongan I/O yang lain. Ini termasuklah sokongan untuk empat port USB 3.0, dua port DVI dan satu port HDMI dan DisplayPort.

Menariknya, kotak grafik ini juga boleh dikatakan lebih kecil daripada peranti-peranti yang sama di pasaran sekarang. Ini adalah kerana peranti AORUS ini direka menggunakan kad GTX 1070 yang lebih kecil dari biasa, dan walaupun rangkanya boleh dibuka, anda perlu mencari kad grafik yang bersaiz sama dengan kad yang digunakan oleh kotak ini, seperti NVIDIA GTX 1080 Mini dan sebagainya.

Menurut pihak AORUS, Gaming Box ini akan hadir di pasaran-pasaran terpilih dalam masa beberapa minggu ini untuk harga $599 (RM2558).


TIPS & ULASAN