Jabra Elite Sport Hadir Di Pasaran Malaysia – Berharga RM1259

Jabra Elite Sport Hadir Di Pasaran Malaysia – Berharga RM1259

Diterbitkan pada June 7, 2017 oleh .

Jabra merupakan jenama yang sering disebut-sebut apabila pengguna sedang mencari peranti fon telinga yang boleh dipercayai untuk digunakan sewaktu bersukan.

Terkini, syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan kehadiran fon telinga kelas tertinggi mereka, Jabra Elite Sport untuk pasaran Malaysia. Jabra Elite Sport ialah fon kepala tanpa wayar yang boleh digunakan secara stereo (dua unit) ataupun mono (satu unit), bergantung kepada keperluan anda.

Jabra Elite Sport ini hadir dengan empat mikrofon terbina di dalamnya, yang membolehkan anda membuat panggilan telefon yang tidak mempunyai sebarang pencemaran bunyi dari persekitaran anda. Fon kepala ini juga hadir dengan teknologi Active Noise Cancelling yang memencilkan anda dari bunyi-bunyi di sekeliling anda.

Sebagai fon telinga yang dibina khusus untuk aktiviti bersukan, Jabra Elite Pro ini hadir dengan pengesahan IP67 kalis debu dan air. Walaupun begitu, pihak Jabra berkata bahawa ia adalah kalis debu, peluh dan cuaca hujan, kemungkinan besar kerana sambungan Bluetooth agak susah untuk digunakan apabila anda di dalam air. Kedua-dua fon kepala ini juga mempunyai jangka-hayat bateri selama tiga jam.

Dari segi ciri-ciri pula, fon telinga ini hadir dengan beberapa ciri-ciri kesihatan yang agak menarik. Ia boleh mengukur kadar degupan jantung anda, dan melalui aplikasi Jabra Sport Life App, ia juga boleh membantu anda melakukan aktiviti senaman melalui pelan senaman dan juga arahan suara di dalam fon telinga.

Jabra Elite Sport ini hadir dengan beberapa aksesori, termasuklah sebuah kotak penyimpanan yang juga berfungsi sebagai dok pengecasan yang mampu memberikan jangka hayat tambahan selama enam jam untuk fon telinga ini.

Selain dari itu, pakej Elite Sport ini juga hadir dengan bud telinga pelbagai saiz, sayap telinga untuk memastikan fon telinga anda tidak tercabut, dan juga kabel micro-USB yang boleh digunakan untuk mengecas dok pengecasan dan fon-fon telinga tersebut.

Fon telinga Jabra Elite Sport ini sudah hadir di pasaran Malaysia, dan boleh dibeli di kedai-kedai seperti All IT, ViewNet, Thundermatch dan Lazada Malaysia untuk harga RM1259.


TIPS & ULASAN