Pemegang Saham Yahoo! Meluluskan Penjualan Perniagaan Web Kepada Verizon

Pemegang Saham Yahoo! Meluluskan Penjualan Perniagaan Web Kepada Verizon

Diterbitkan pada June 9, 2017.

Yahoo! merupakan salah satu portal web yang popular sekitar sedekad yang dulu, malah ramai pengguna yang masih mempunyai akaun emel dengan akhiran Yahoo!, selain kenangan menggunakan Yahoo! Messenger, serta pelbagai perkhidmatan lain dibawah gergasi internet berkenaan. Walaubagaimanapun, dengan perkembangan internet, Yahoo! sedikit demi sedikit ketinggalan, dan kini ia telah diambil-alih oleh Verizon.

Terkini, para pemegang saham Yahoo! telah pun mengesahkan penjualan perniagaan web mereka kepada Verizon pada nilai $4.48 bilion. Pengumuman ini hadir selepas Verizon mengumumkan hasrat mengambil-alih Yahoo! pada tahun lepas, dan selepas melalui pelbagai fasa mendapatkan kebenaran dan sebagainya.

Yahoo! menyasarkan untuk memindahkan pelbagai aset web mereka kepada syarikat telekomunikasi dari Amerika Syarikat berkenaan pada 13 Jun ini. Transaksi pemindahan ini sebelum ini ditangguhkan selepas kes godaman akaun Yahoo! tempoh hari, sekaligus mengurangkan sedikit harga jualan Yahoo!.

Dengan mengambil-alih Yahoo!, Verizon akan cuba lebih menekankan kepada kandungan, dan Yahoo! akan menjadi sebahagian daripada Oath, salah satu unit dibawah Verizon yang memfokuskan kepada kandungan media dan perkhidmatan digital seperti emel. Bahagian berkenaan juga akan mengintegrasikan AOL – satu lagi antara syarikat terawal internet yang mula merudum sejak akhir-akhir ini.

Selepas penjualan ini, aset Yahoo! yang berbaki akan dijenamakan dibawah syarikat Altaba Inc – yang mana akan mempunyai pegangan di dalam Alibaba dan Yahoo! Japan – bernilai lebih $40 bilion.


TIPS & ULASAN