Astro Dan Karangkraf Akan Menubuhkan Syarikat Usahasama Memfokuskan Pembangunan Kandungan

Astro Dan Karangkraf Akan Menubuhkan Syarikat Usahasama Memfokuskan Pembangunan Kandungan

Diterbitkan pada June 9, 2017 oleh .

Astro dan Karangkraf merupakan dua nama yang tidak asing dalam arena penerbitan tempatan. Astro melalui siaran televisyen berbayar mereka, diakses oleh lebih kurang 21 juta pengguna tempatan, sementara Karangkraf pula melalui penerbitan bercetak dan digital mereka meliputi sekitar 15 juta pembaca tempatan. Kini, kedua-dua syarikat berkenaan mengumumkan kerjasama dan dijangka menubuhkan sebuah syarikat usahasama baru dalam memfokuskan kepada pembangunan kandungan.

Melalui kerjasama ini, mereka akan menyasarkan kepada kandungan berbahasa Melayu dan meliputi Nusantara. Kedua-dua syarikat akan berkongsi IP mereka dalam memperluaskan lagi capaian dan pendapatan syarikat. Sebagai contoh, Karangkraf yang mempunyai penawaran penerbitan bercetak akan bekerjasama dengan Astro dalam menjadikan kandungan berkenaan dalam bentuk digital atau video.

Bercakap dalam arena penerbitan sendiri – terutamanya digital, ia menerima pelbagai penyertaan nama besar akhir-akhir ini, termasuk MediaPrima sendiri yang telah mengambil-alih RevAsia pada nilai mencapai RM105 juta, selain MyEG turut melakukan beberapa pelaburan dalam arena sama.

Buat masa ini, Astro dan Karangkraf masih tidak berkongsi berkenaan apakah nama baru syarikat usahasama berkenaan, selain apakah projek pertama dibawahnya kelak.


TIPS & ULASAN