Perdagangan dunia bergantung sepenuhnya kepada pergerakan kapal kargo. Negara yang mengawal pergerakan kargo akan menjadi kuasa besar dunia. Jepun telah memulakan projek pembangunan kapal kargo dengan pelayaran automatik dengan harapan memulakan operasi seawal 2025.
Uniknya mengenai inisiatif ini ialah ia adalah kerjasama di antara 10 kuasa besar industri pembinaan kapal mereka seperti Mitsubishi Heavy Industries dan Imabari Shipbuilding. Turut terlibat ialah Mitsui O.S.K. Lines dan Nippon Yusen, dua syarikat kargo ternama Jepun. Kerjasama ini dilakukan bagi mempercepatkan proses pembangunan dan mengurangkan kos. Pada waktu yang sama ia akan menguntungkan ekonomi Jepun dengan sasaran memegang 30% armada kapal kargo dunia. Sebanyak 250 kapal kargo pelayaran automatik akan dibina di bawak program nasional ini.
Pelayaran automatik dipercayai dapat mengurangkan kes kemalangan yang merugikan syarikat. Sistem kecerdasan buatan yang digunakan dapat mengurangkan kesilapan yang dilakukan oleh krew manusia. Data mengenai cuaca dapat diproses oleh kecerdasan dengan lebih pantas sekaligus memberikan laluan paling optimum bagi mengurangkan kos operasi.
Jepun telahpun menjadi negara terawal menggunakan kecerdasan buatan dan robotik di dalam industri. Nampaknya dalam masa sedekad lagi mungkin kerjaya sebagai krew kapal pula akan pupus.